Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) akan membangkang apa jua tawaran
kerajaan yang diumumkan menerusi Bajet 2018 beberapa hari lalu, kerana
mereka sedang 'panik' untuk meyakinkan rakyat dalam mendepani pilihan
raya umum tidak lama lagi.
Ini
termasuklah menguar-uarkan kepada rakyat bahawa Bajet 2018 adalah
gula-gula Barisan Nasional (BN), malah menuduh ianya bajet yang tidak
bertanggungjawab lantaran peruntukan untuk belanja pembangunan yang
rendah berbanding nisbah yang ditawarkan PH menerusi Belanjawan
Alternatif.
Selain itu, PH juga mendakwa BN menciplak idea mereka khususnya mengenai penghapusan tol dan cuti bersalin.
Penganalisis politik, Edwin Michael berpendapat, tidak timbul soal
siapa menciplak siapa, kerana adalah menjadi tanggungjawab kerajaan
untuk menjaga kebajikan rakyat.
"Sebagai sebuah kerajaan yang diberi mandat penuh oleh rakyat dalam
pilihan raya lepas, adalah tanggungjawab kerajaan untuk jaga kebajikan
rakyat.
"Dan salah satu cara untuk menjaga kebajikan rakyat adalah mementingkan
aspek kebajikan sosio-ekonomi rakyat dan itu yang telah diterapkan oleh
Datuk Seri Najib Razak dalam bajet yang dibentangkan baru-baru ini,"
katanya kepada Antarapos.
Pensyarah kanan di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) itu juga
berkata, jika dibandingkan antara kedua-dua bajet, ternyata bajet yang
dibentangkan perdana menteri lebih inklusif kerana mencakupi segenap
lapisan umur dan masyarakat.
"Kalau anda lihat bajet alternatif PH, mereka tak sebut (kebajikan)
Orang Asli. Mereka hanya mahu tamatkan GST kepada kosong peratus, tapi
mereka tak nyatakan secara langsung bagaimana untuk menampung
perbelanjaan negara, dari mana pendapatan utama yang akan diperoleh
untuk tampung perbelanjaan negara," ujarnya.
PH pada Rabu lalu membentangkan belanjawan alternatif dengan mengitar
janji lama untuk memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),
cukai yang mula dilaksanakan kerajaan pada 2015.
Belanjawan alternatif berjumlah RM258.52 bilion itu memberi peruntukan
lebih tinggi bagi pembangunan, iaitu 23 peratus jika dibandingan Bajet
2018 yang memperuntukkan 17 peratus untuk belanja yang sama.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika
membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 hari ini terus mengkritik
pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dengan menyifatkan jumlah
penerima bantuan itu yang semakin meningkat menunjukkan dasar ekonomi
kerajaan gagal mengeluarkan rakyat daripada belenggu kemiskinan.
"Mereka tidak boleh menyerang lagi Najib terutamanya isu BR1M kerana
belanjawan alternatif PH juga ada sebutkan tentang BR1M yang akan
dikekalkan.
"Jadi apa yang dibuat oleh Najib adalah 'checkmate' kepada pembangkang.
Dan mereka sekarang panik kerana mereka perlu yakinkan rakyat bahawa
mereka lebih baik daripada kerajaan, dan mereka tawarkan yang lebih baik
berbanding Bajet 2018," katanya.
Tambah Edwin, pengumuman mengenai penghapusan tol di beberapa lokasi juga satu tamparan hebat kepada pembangkang.
"Isu penghapusan tol adalah kemenangan moral kepada Najib dan BN kerana ia isu yang sekian lama diperjuangkan pembangkang.
"Bila Najib umumkan penghapusan di empat tol, maka itu kemenangan moral kepada BN, dan ini tamparan hebat kepada pembangkang.
"Saat ini mereka tak ada isu untuk serang Najib, sebaliknya mereka
bermain dengan nombor (figure) seperti 17 peratus daripada Bajet 2018
(untuk belanja pembangunan) tidak bersifat mengambil kira pendekatan
rakyat," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan