shahbudindotcom
Apa yang menarik dalam bajet kali ini?
Itu
adalah pertanyaan yang paling banyak terdengar di mana-mana sejak
petang semalam lagi. Bersapaan di mana saja atau dengan sesiapa, soalan
sedemikian hampir tidak terkecuali terpacul daripada mulut kebanyakan
orang.
Ramai
yang mengharapkan bajet yang dibentangkan Najib kali ini terdampar
harapan dan bunga-bunga indah, bukan semata-mata untuk memenangi
pilihanraya, lantaran sembang kencang Najib Razak sebelum ini kononnya
ekonomi negara berkembang baik, pertumbuhan dalam negara positif dan
sehingga mampu membuat tawaran untuk memakmurkan ekonomi Amerika
Syarikat.
Lebih
daripada itu, oleh kerana bajet alternatif oleh Pakatan Harapan sudah
pun dibentangkan lebih dahulu, sekurang-kurangnya Najib mestilah ada
iltizam untuk menawarkan sesuatu yang labih baik lagi.
Malangnya,
yang mampu dilakukan Najib hanyalah beberapa ciplakan terhadap bajet
alternatif Pakatan Harapan, manakala selebihnya langsung tidak ada yang
menarik.
Najib
hanya mampu mempersembahkan perkara-perkara remeh seperti kebenaran
pulang awal bagi suami yang isterinya mengandung. Kebenaran pengambilan
terus pembantu rumah dan tidak lagi melalui agen hanya mendedahkan
majikan kepada penipuan dan lebih banyak masalah akan timbul.
Beliau
seharusnya menekankan bayaran agen yang munasabah atau memperbanyakkan
lagi, atau mandatori berhubung pusat jagaan kanak-kanak di tempat
kerja, baik sektor kerajaan mahu pun swasta.
Sementara
bajet Pakatan Harapan mahu menghapuskan tol dan GST, Najib sebaliknya
cuma memansuhkan lima tol saja, itu pun dua di Selangor yang terlibat
itu memang konsesinya akan berakhir pada 2018 serta beberapa item
barangan yang dikecualikan cukai tersebut.
Dengan
demikian, jika pemansuhan dua tol di Selangor diharapkan mampu
meniupkan angin perubahan agar rakyat memilih UMNO dan BN, ia sudah jadi
tidak bermakna apa-apa lagi.
Pemansuhan tol di Johor dan Kedah pula dengan jelas membuktikan Najib bimbang kedua-dua negeri itu akan beralih tangan.
Begitu
juga, pemberian saham RM200 kepada anak yang baru lahir, pendekatan
tersebut sudah pun lama di lakukan di Selangor oleh Pakatan Harapan.
Makna
kata, dengan menciplak beberapa perkara dalam bajet alternatif Pakatan
Harapan dan kesediaan Najib menghapuskan tol di Kedah dan Johor,
kehadiran pakatan pembangkang itu bukan saja digeruni, malah nyata
memberi kebaikan kepada rakyat.
Belum
pun menjadi kerajaan, Pakatan Harapan sudah mampu melimpahkan rahmat
dan kebaikan kepada rakyat, bayangkan jika mereka menjadi kerajaan
nanti?
Yang
amat mengecewakan dalam bajet kali ini ialah daripada keseluruhan
peruntukan RM280.25 bilion yang disediakan, meningkat lebih RM20 bilion
berbanding tahun lalu, perbelanjaan pengurusan mewakili sebanyak
RM234.25 atau 84 peratus, manakala belanja pembangunan hanyalah 16
peratus atau RM40 bilion saja.
Di
mana impaknya kepada pertumbuhan ekonomi yang sihat dan lestari jika
peruntukan untuk pembangunan tersangat kecil berbanding belanja
pengurusan?
Dalam
hal ini, Najib dengan amalan "cash is king" yang dimaklumi memang
membudaya dalam dirinya, tidak saja mengamalkan perbelanjaan tidak
sihat, tetapi juga terlihat terlalu ghairah untuk memberi banyak
sumbangan tunai atau one-off kepada pelbagai kelompok masyarakat bagi
tujuan memenangi pilihanraya.
Selain
bayaran BR1M sebanyak RM1200 dan bantuan khas kewangan RM1500 kepada
kakitangan awam serta RM750 untuk pesara, bajet ini juga memperuntukan
beberapa pemberian tunai lain seperti RM1500 kepada Ketua Kampung, Tok
Batin, Imam, Bilal, Siak, Guru Kafa dan Takmir, bantuan RM600 kepada
pesawah dan elaun khas RM350 kepada warga emas.
Semua
bayaran itu akan mula diterima dalam dua peringkat iaitu pada Januari
2018 dan menjelang sambutan Hari Raya Aidil Fitri akan datang.
Ini
dengan jelas memberi gambaran bahawa semua wang tunai yang dicurahkan
itu ialah untuk tujuan menambat hati rakyat menjelang PRU 14 yang sudah
tentu bakal diadakan selepas Januari 2018 iaitu di ketika sebahagian
besar pemberian wang tunai tersebut sudah diagih-agihkan dan diterima
rakyat.
Tidak
mungkin pilihanraya akan diadakan hujung tahun ini kerana Najib sudah
tentu mahu gula-gula tunai yang dijanjikannya betul-betul sampai ke
tangan pengundi sebelum mereka memangkah di kertas undi.
Maknanya,
pemberian tunai itulah yang menyebabkan belanja pembangunan terpaksa
diciputkan kepada kira-kira RM40 bilion, manakala belanja mengurus
meningkat kepada RM234.25 bilion.
Najib
nyata terdesak untuk memenangi pilihanraya akan datang sehingga semua
wang tunai kerajaan digunakan untuk kepentingan politik UMNO dan BN
serta mengabaikan aspek pembangunan lain yang lebih mampu memberi impak
besar kepada ekonomi negara.
Hakikat
bahawa bajet kali ini adalah untuk memenangi pilihanraya bukan saja
terbentang di depan mata, tetapi diakui sendiri oleh Timbalan Perdana
Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, bajet kali ini memang merupakan bajet persediaan untuk menghadapi pilihanraya.
Betullah tu, nak kata apa lagi, kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan