Oleh Nur Atiqah Abd Samad
ALOR SETAR: Konvensyen Nasional Amanah 2017 sebulat suara menolak usul
sayap Pemuda yang meminta kuota 30% calon pilihan raya umum akan datang
terdiri daripada kelompok anak muda.
Penolakan usul itu disokong oleh Ketua Pemuda Amanah Pulau Pinang Zahar
Zainol yang menyifatkan kepimpinan Pemuda perlu membuktikan terlebih
dahulu kelayakan mereka dalam mendapatkan kuota berkenaan.
"Dalam kriteria kita nak memilih calon, ada atau tidak diletakkan had
umur? Sekiranya tiada had umur, itu tak jadi isu. Saya rasa kalau semua
orang muda ni layak, bukan setakat 30% (tapi) 80% pun pemimpin kita
bagi. Ambil semua bagi orang muda sebab kami pun dah tua kena bagi orang
mudalah buat kerja semua, kalau ada yang layak.
"Untuk membawa pemuda sebagai calon mereka perlu berfikiran muda,
sanggup bekerja dengan orang yang berpengalaman dan buktikan dahulu,"
katanya pada sesi perbahasan hari terakhir di Konvensyen Nasional 2017
di Alor Setar.
Menurut beliau lagi, Pemuda perlu mencontohi sikap Presiden Mohamad
Sabu, walaupun sudah berusia tetapi masih mampu menarik sokongan anak
muda dalam parti ini.
"Merit nak jadi calon, saya rasa bukan kuota yang penting IQ dan juga
diri sendiri. Contohnya abang Mat (Mohamad Sabu) umur 60 tahun tapi anak
muda bersama dengan dia. Maknannya muda ini bukan pada umur tapi pada
hati dan minda.
"Kalau muda pun tak boleh lawan dengan yang muda tapi kalau yang tua
macam kami ni boleh kahwin muda itu lebih hebat daripada orang muda,"
katanya secara berseloroh.
Sementara itu, seorang lagi perwakilan yang turut membantah adalah
Sulaiman Ibrahim dari Sik berkata, golongan Pemuda bukan sahaja perlu
mendekati pihak atasan tetapi juga di peringkat akar umbi.
"Ada pemimpin lain yang lebih layak lagi, saya setuju dengan Pemuda.
Saya bukan berat sebelah terhadap orang muda, saya pun pemuda juga.
"Tapi tunjukkan kesungguhan pemuda bukan sahaja di peringkat atasan
tapi (juga) di peringkat bawahan untuk menarik lagi golongan anak muda
bagi mencapai sasaran kuota 30%," katanya.
Usul berkenaan dibawa oleh Timbalan Ketua Pemuda Amanah Pulau Pinang
Mohd Saifullah Mohd Nasir, bagi membolehkan mendapat kepercayaan orang
muda yang membentuk hampir 55% pengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan