Khamis, 26 Oktober 2017

PM: Bajet HARAPAN hanya populis, tiada kredibiliti

MALAYSIAKINI


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan belanjawan alternatif yang dibentang Pakatan Harapan (HARAPAN) semalam sebagai populis dan akan membawa masalah kepada kewangan negara.

Dalam sesi taklimat bersama editor media di Putrajaya hari ini, beliau berkata kelemahan kepimpinan HARAPAN terlihat pada belanjawannya, yang "tiada kredibiliti dan tidak konsisten".

"Bajet pembangkang tidak berdasarkan fakta dan angka...Pendekatan mereka populis semata-mata tetapi tidak disokong dengan perkara seperti hasil negara. Ia tidak boleh dilaksanakan, maka tidak mampan," katanya seperti dipetik Bernama.

Belanjawan alternatif HARAPAN antara lain berjanji untuk memansuhkan GST dan mengembalikan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dalam masa setahun mentadbir negara.

HARAPAN juga menawarkan kadar royalti minyak 20 peratus, daripada kadar semasa 5 peratus, kepada negeri pengeluar iaitu Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

Najib yang akan membentangkan Bajet 2018 esok menyifatkan ia merupakan belanjawan yang tidak mengabaikan mana-mana pihak, termasuk pembangkang.

"(Misalnya) beberapa lebuh raya yang dibina melalui negeri yang ditadbir pembangkang. Kita mahu tunjukkan yang kita bertanggungjawab...kita perlu tunaikan tanggungjawab moral sebagai kerajaan," katanya yang juga menteri kewangan.

Beliau berkata, cabaran terbesar dalam merangka belanjawan itu ialah memenuhi harapan rakyat.

Najib juga tidak menolak belanjawan kali ini akan digelar sebagai "belanjawan pilihan raya", walaupun kerajaan selama ini konsisten dalam melaksanakan program untuk rakyat.

Bajet 2018 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada pukul 3.30 petang esok.

Tiada ulasan: