Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA NERUS: Selepas kejutan pertama 'tidak menjadi', PAS memberitahu ia akan menerima seorang lagi muka baru.
Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan memberitahu Antarapos, kali ini
ia akan melibatkan seorang ahli politik dari sebuah parti politik yang
kini aktif sebagai aktivis.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut siapakah individu tersebut,
dan meminta menunggu pengumuman penghijrahan itu pada pertengahan
Oktober ini.
"Beliau daripada sebuah parti politik dan dalam masa sama aktif dalam NGO. Mempunyai nama, terkenal...
"Yang ini, telah menghubungi saya dan menyatakan hasratnya untuk
menyertai dan menjadi ahli PAS. Dalam seminggu dua lagi kami akan
isytiharkan penyertaan beliau ke dalam PAS," katanya.
Berbeza dengan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaffar dan bekas pengarah Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Abdul Rahim Che Daud yang hanya
menyatakan kebersamaam mereka bersama PAS, Nasruddin memberitahu
individu terbaru ini mahu menjadi ahli parti itu.
Ahli Parlimen Temerloh itu ditanya apakah kerana tersisih dan tidak
lagi berjawatan di dalam parti lama menyebabkan individu itu mahu
menyertai parti berasaskan Islam itu.
"Kita lihat nanti apakah isu sebenar, mengapa beliau hendak sertai PAS," katanya ringkas.
Terdahulu PAS, dalam Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal dua
hari lalu mengumumkan kebersamaan Zakaria dan Abdul Rahim dalam
perjuangan PAS.
Bagaimanapun pengumuman itu dikritik pelbagai pihak, memandangkan PAS
sebelum ini beria-ia memberitahu ada kejutan penting ketika kemuncak
himpunan tersebut.
Antara nama yang disebut- akan menyertai PAS adalah Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim dan bekas naib presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub.
Khalid disebut bakal menyertai PAS berikutan beliau sering dilihat hadir dalam beberapa program yang dianjurkan parti itu.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata partinya
mempelawa Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu untuk menjalin kerjasama
menumbangkan kerajaan negeri pimpinan PKR di Selangor.
Namun spekulasi itu tidak benar apabila Khalid sendiri mengumumkan
tidak akan menyertai PAS ketika berucap di pentas Fastaqim 2.0, 30
September lalu.
Beliau menyatakan kebersamaannya bersama PAS dengan memanfaatkan
kepakaran dan pengalamannya sebagai bekas menteri besar Selangor dan
perkara berkaitan urus tadbir serta ekonomi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan