Oleh Afiqah Mat Rozi
SHAH ALAM: Parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu bersedia berkompromi dalam soal agihan kerusi bagi mengekalkan kemenangan dua pertiga gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir berpandangan, tidak ada
gunanya untuk berebut kerusi sekiranya ia gagal dipertahankan kelak,
yang akhirnya hanya akan merugikan gabungan itu.
Ujar Jeniri, strategi yang pernah diamalkan sebelum ini dengan
menyerahkan kerusi kepada parti tertentu atas dasar kerusi tradisi,
sudah tidak lagi sesuai.
“Saranan yang dikemukan Pengerusi BN itu, harus dipertimbangkan dengan
wajar dan waras oleh pimpinan parti. Pemimpin parti komponen harus punya
keupayaan untuk bersedia menerima saranan itu dgn membuka pintu hati
mereka," katanya kepada Antarapos.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak ketika Taklimat
Pemukiman Jentera BN semalam mengingatkan parti-parti komponen gabungan
itu untuk bersikap toleransi dalam soal pembahagian kerusi pilihan
raya.
Peringatan itu disuarakan supaya gabungan parti-parti kerajaan itu mengekalkan kemenangannya pada PRU14 akan datang.
Dalam pada itu tambah Jeniri, sebagaimana yang ditekankan oleh Najib,
parti-parti komponen harus belajar daripada apa yang berlaku di Sabah
dan Sarawak.
“Di Sarawak khususnya, soal pertukaran sedemikian adalah sesuatu yang
biasa dan itu boleh dikatakan antara resepi, formula kejayaan BN di
Sarawak.
“Saranan ini mungkin saja tidak begitu disenangi oleh peringkat akar
umbi dan para penyokong parti, tapi menjadi tanggungjawab pemimpin parti
komponen untuk menjelaskannya kepada pihak akar umbi,” katanya lagi.
Sebelum ini wujud pertikaian berhubung kerusi Parlimen Cameron Highland
milik tradisi MIC, dengan Parti Progresif Penduduk (MyPPP) selepas
Presidennya, Tan Sri M. Kayveas menyatakan hasrat untuk bertanding di
kerusi berkenaan.
MIC bagaimanapun enggan menyerahkan kerusi itu dan tetap mahu meletakkan calon pada PRU14.
Kerusi Parlimen Cameron Highland kini disandang Datuk Seri G. Palanivel yang juga bekas Presiden MIC.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan