Selasa, 10 Oktober 2017

Lagi polis ditahan di pusat hiburan, seorang positif dadah

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Tiga anggota polis antara 121 orang ditahan dalam satu serbuan dijalankan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) di sebuah pusat hiburan di Ipoh, semalam.
 
Sin Chew Daily melaporkan 2 inspektor dan seorang korporal itu berusia 33 hingga 55 tahun.
 
Difahamkan, 2 inspektor itu masing-masing ialah anggota Bahagian Siasatan Jenayah di Balai Polis Ipoh dan seorang lagi ditempatkan di Balai Polis Tapah.
 
Akhbar itu melaporkan ujian air kencing korporal berusia 55 tahun itu didapati positif dadah bersama 73 suspek lain yang ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
 
Serbuan yang dijalankan pasukan polis dari Bukit Aman itu bermula 2.30 pagi hingga 8 pagi semalam di sebuah bar karaoke di Bandar Baru Medan, Ipoh.
 
Seramai 121 orang diperiksa, termasuk 97 lelaki dan 24 wanita. Tiada dadah ditemui dalam serbuan itu.
 
Turut ditahan dalam operasi itu adalah 10 wanita asing yang menyalahgunakan pasport mereka. Lima daripadanya ialah warga China, 4 warganegara Vietnam dan seorang lagi rakyat Thailand.
 
Ini adalah kes ke-2 polis ditahan berhibur di pusat hiburan, selepas sebuah klip video menunjukkan 7 anggota polis dari Unit D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Muar berhibur dengan tauke judi di sebuah pusat hiburan di Pusat Perniagaan Bakri.
 
Susulan itu, 7 pegawai dan anggota polis itu ditukarkan ke jabatan lain sementara menunggu tindakan susulan, Ahad lalu.
 

Tiada ulasan: