Khamis, 5 Januari 2017

Tiada orang Mahathir atau Muhyiddin dalam PPBM

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Abu Bakar Yahya menyanggah dakwaan sesetengah pihak bahawa partinya kini terbahagi kepada dua pihak yang menyokong dua pimpinan tertingginya.
 
Tegasnya parti ditubuhkan atas kesepakatan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, oleh itu pimpinan dan ahli-ahlinya bersatu atas perjuangan politik yang sama.
 
Abu Bakar berkata demikian mengulas dakwaan bahawa parti yang ditubuhkan pada September tahun lalu semakin berantakan dengan wujudnya kumpulan yang menyokong Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
"Yang saya tahu tidak ada 'orang Mahathir', 'orang Muhyiddin'. Sebab Mahathir dan Muhyiddin mendapat kata setuju dan sepakat mewujudkan PPBM. Jika wujud parti atas persetujuan dua pemimpin maka tidak timbul isu dua kumpulan. Bermakna orang Mahathir orang Muhyiddin adalah orang parti. 
 
"Mengapa nak timbulkan hal ini? Kita sudah bergerak sebagai satu kumpulan, ini semua orang Mahathir, orang Muhyiddin," katanya ketika ditemui Antarapos.
 
Dakwaan itu timbul selepas ada pihak dalam parti kurang senang dengan kepimpinan Muhyiddin, yang dilihat kurang lantang jika dibandingkan dengan Mahathir dalam mengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
 
Mengulas lebih lanjut, Abu Bakar percaya kewujudan dua kumpulan pemimpin berkenaan sengaja direka untuk melaga-lagakan kepimpinan PPBM.
 
"Itu persepsi. Namun apa yang saya lihat setiap program dan ucapan Mahathir dan Muhyiddin kesemuanya sama naik. Mereka berganding bahu. Saya harap pihak luar tidak timbulkan hal (dakwaan) sebegitu. Jika yang tidak melihat, tidak tahu, jangan bercakap," ujarnya.
 
Bukan itu sahaja, PPBM sejak kebelakangan ini dihimpit dengan pelbagai kontroversi dalaman dan luaran parti membabitkan kepimpinannya.
 
Selepas Datuk Khairuddin Abu Hassan keluar parti pada Oktober lalu, Mohammed Ezam Mohd Noor pada minggu lalu mengambil tindakan yang sama.
 
Mohammed Ezam memberi alasan meninggalkan PPBM kerana atas komitmennya terhadap NGO bernama Hisbah Centre yang di bawah kendaliannya, namun menolak keputusan itu dibuat kerana masalah parti.
 
Bukan itu sahaja, PPBM dipalit skandal seks membabitkan Anina Saadudin apabila 'screenshot' perbualan intim menerusi aplikasi Whatsapp didakwa antara dirinya dan seorang lelaki, tersebar.
 
Anina juga 'digugurkan' sebagai Ketua Srikandi PPBM atas alasan sayap parti tersebut masih belum ditubuh secara rasmi.
 
Minggu lalu, tersebar pula pendedahan oleh bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim bahawa Mahathir dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengikat satu perjanjian rahsia dalam menentukan calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.
 
Perjanjian yang didakwa dimeterai 3 Disember lalu menyebut Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilantik sebagai perdana menteri dan timbalannya disandang oleh Kit Siang.
 
"Siapa yang mengeluarkan cerita itu? Jika beliau musuh, macam-macam beliau boleh buat. Mukhriz sudah bercakap, supaya tunjukkan bukti. Jangan cakap kosong sebab semua orang boleh bercakap," tempelak Abu Bakar lagi. 
 
DAP sebelum ini menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.
 
Bagaimanapun Tunku Aziz berkata ia hanyalah satu cubaan 'political red herring' (politik mengalih tumpuan).
 
 

Tiada ulasan: