Isnin, 9 Januari 2017

Persempadanan semula SPR berat sebelah, ‘khianati’ Perlembagaan Persekutuan


Roketkini.com

IPOH: Adakah persempadanan semula yang dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersifat neutral dan masih menepati prinsip-prinsip selaras Perlembagaan Persekutuan?

Persoalan itu diutarakan Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar yang mendapati persempadanan semula SPR berat sebelah dengan mengutamakan kepentingan parti UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Keadaan yang berlaku ini, kata Ahli Parlimen Batu Gajah itu telah melanggar empat syarat yang diperuntukkan dalam undang-undang iaitu:
  • Kemudahan untuk pemilih-pemilih semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri
  • Mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam pilihan raya itu
  • Jumlah pemilih yang seimbang bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesuatu Negeri
  • Memelihara hubungan tempatan
“Semua ini membuktikan bahawa syarat-syarat yang diperuntukkan undang-undang tertinggi negara tidak dihormati oleh SPR, malah badan yang kononnya bebas itu menggunakan pelbagai manipulasi bagi membolehkan Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang,” katanya.

Sebelum ini, SPR didakwa memindahkan sejumlah besar bilangan pengundi dari satu kawasan ke kawasan yang lain sehingga mendapat bantahan besar-besaran daripada Pakatan Harapan di hampir setiap negeri.

Pakatan Harapan Perak, misalnya, menyatakan terdapat lebih 16 kawasan DUN di negeri itu mempunyai bilangan pengundi melebihi kawasan Parlimen, iaitu sesuatu yang tidak logik.

Malah, wujud perbezaan jumlah pengundi yang terlalu besar antara bahagian-bahagian mengundi, sebagai contoh kerusi DUN Manjoi yang mempunyai 50,812 pengundi, sebaliknya DUN Kota Tampan dan Trong hanya mempunyai kurang 13,000 pengundi.

SPR juga didakwa memindahkan hampir 5,000 pengundi dari kawasan Batang Kali ke Kuala Kubu Bharu di Selangor.

Perkara sama turut berlaku di Johor apabila didapati semua bahagian Parlimen di negeri itu gagal mematuhi syarat bahawa kadar 15 peratus perlu digunakan sebagai kadar perbandingan bagi perbezaan antara jumlah pemilih di setiap kawasan.

Ia juga berlaku untuk bahagian DUN apabila Skudai mempunyai 69,132 pemilih manakala Bukit Kepong cuma mempunyai pemilih seramai 15,795 orang.

Perkara ini, kata Siva, menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap SPR untuk mengendalikan pilihan raya.

“(Perbuatan SPR) merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat dan Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya. -Roketkini.com


Tiada ulasan: