Oleh Shuhaniza Said
AMPANG: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengambil
pendekatan menjarakkan diri untuk mengulas pendedahan bekas Naib
Pengerusi DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim bersabit 'pakatan sulit', minggu
lalu.
Beliau sebaliknya berkata, adalah hak Timbalan Presiden Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, individu yang
dikaitkan dalam pendedahan tersebut, untuk mengambil tindakan
undang-undang terhadap Tunku Aziz.
"Itu hak Datuk Seri Mukhriz untuk ambil tindakan dan beliau telah
nyatakan hasrat untuk ambil tindakan terhadap Tunku Aziz dan saya
serahkan kepada beliau," katanya dalam sidang media selepas membuat
lawatan di SK Hulu Klang, di sini sebentar tadi.
Tunku Aziz minggu lalu mendedahkan wujud pakatan sulit di antara mantan
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Penasihat DAP, Lim Kit
Siang untuk menaikkan Mukhriz sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan
Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Dakwa Tunku Aziz juga, pakatan sulit itu turut menamakan Kit Siang sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.
Susulan itu, Mukhriz memaklumkan bakal mengambil tindakan undang-undang
ke atas Tunku Aziz, selain menggesa bekas pemimpin veteran DAP
mendedahkan 'sumber' beliau.
Bagaimanapun Tunku Aziz dalam reaksinya terhadap ugutan saman itu,
mengingatkan Mukhriz supaya membuat akuan bersumpah (SD) untuk
menghentikan segala spekulasi.
Dalam perkembangan berlainan, Azmin turut diminta mengulas hasrat Ketua
Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang ingin menggantikan
beliau sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
"Saya bukan ahli FAS.. terserah kepada FAS lah untuk membuat keputusan," katanya lagi.
Jamal semalam menghantar surat rasmi kepada FAS bagi menawarkan diri
sebagai Presiden kelab bola itu, malah berazam untuk membawa pasukan
Selangor setanding dengan Johor Darul Takzim (JDT) jika dilantik sebagai
presiden.
Malah Jamal juga berjanji menyelesaikan segala tunggakan gaji dan elaun
pemain dan jurulatih akan diselesaikan dalam tempoh 14 hari.
Posisi itu 'kosong' selepas Azmin baru-baru ini mengumumkan peletakan
jawatannya selepas dua tahun menyandang jawatan berkenaan.
Menurut Azmin, keputusan itu dibuat ekoran tidak berpuas hati terhadap
sikap barisan Exco FAS yang masih dengan sikap dan budaya lama yang
terlalu bergantung kepada pemberian subsidi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan