Sabtu, 14 Januari 2017

Kerana ular, mereka terpaksa berkhemah dalam rumah

Kerana ular, mereka terpaksa berkhemah dalam rumah
Inah bersama seorang anaknya di hadapan khemah yang didirikan di dalam rumah.


SIK - Sepasang suami isteri terpaksa mendirikan khemah dalam rumah sendiri, gara-gara kediaman mereka itu sering dimasuki ular.

Inah Yahya, 44, dari Kampung Kerawai berkata, khemah itu dibina di tingkat atas rumah sejak dua tahun lalu.

“Bahagian bawah rumah kerap dimasuki ular berbisa melalui lubang dan celah tingkap. Biawak juga sudah beberapa kali masuk. Walaupun tingkat atas dah reput, tetapi kami tiada pilihan untuk selamatkan diri.

“Masalah itu menyebabkan anak saya berusia 12 dan 15 tahun terganggu. Pernah anak bongsu bangun daripada tidur dan lihat ada ular di tepinya. Sampai sekarang dia trauma,” katanya.

Menurut Inah, walaupun dia dan suami bekerja, namun pendapatan mereka kecil menyebabkan mereka tidak mampu untuk membaik pulih rumah tersebut.

“Saya kerja kilang, suami pula pemandu lori. Pendapatan kami yang kecil tak dapat tampung keseluruhan kos membaiki rumah pusaka ibu ini.

“Kami sekeluarga pernah bercadang pindah ke rumah sewa, tetapi terpaksa membatalkan niat itu kerana tak mampu bayar sewa,” katanya.

Anaknya, Nur Hidayah Sabri, 12, berkata, sudah dua kali dia terserempak dengan ular di dalam rumah tersebut.

“Saya takut juga sebab ular itu masuk tidak tentu masa. Sebelum ini pernah terpegang ular ketika bangun daripada tidur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Parti Amanah Negara Parlimen Sik, Sulaiman Ibrahim berkata, masalah keluarga itu akan dirujuk kepada agensi kerajaan.

“Difahamkan, keluarga ini belum pernah menerima bantuan daripada agensi berkaitan. Amanah percaya nasib mereka tidak sesekali diabaikan pihak berwajib dan kita akan rujuk kepada mereka terlebih dahulu,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank 152125267647 atas nama Inah Yahya atau hubungi jiran mereka, Halimatun Azik di talian 017-4427673.


Tiada ulasan: