Oleh Datuk Mohd Ariff Sabri
Banyak isu Felda dan peneroka kita dengar hari ini. Felda Global Ventures (FGV) rugi dan terus rugi. Ada pihak yang berasa bangga dengan mengatakan kerugian suku tahun ini kurang dari kerugian suku tahun dahulu. Memang begitulah rasionalisasi orang kecundang.
Mereka mengaitkan prestasi ini dengan kelembapan ekonomi di seluruh dunia. Tetapi, ada beberapa perniagaan perladangan lain yang berdepan dengan iklim ekonomi yang sama, tidak pula mengalami kerugian seperti FGV. Maka janganlah FGV mempersendakan kepintaran kita, orang Malaysia.
Saya tidak mahu memukul keliling semak – apa yang berlaku kepada Felda atau FGV ialah dengan kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 90 peratus FGV dikuasai oleh kerajaan.
Orang lupa bahawa Felda itu 100 peratus milik kerajaan. Kerajaan, melalui semua pemegang saham FGV, menguasainya sebanyak 90 peratus. Jadi bolehkah apa-apa yang dilaksanakan oleh FGV dilakukan tanpa kebenaran Najib?
Kerugian FGV ialah kerana mutu pengurusannya; pelaburan yang merugikan serta penyelewengan yang berlaku ke atas rizab tunai. Ia mempunyai pelaburan yang merugikan, melakukan pembelian perniagaan dan hartanah yang menyebabkan rizab tunai semakin menurun.
Garis pemisah antara Felda dan FGV sangat nipis. Felda dan FGV hampir 90 peratus milik kerajaan Malaysia. 10 peratus sahaja dimiliki oleh warga asing. Tidak berguna kita bercakap mengenai Felda dan FGV seolah-olah ia dua entiti yang berlainan. Kesemua keputusan dibuat oleh kerajaan Malaysia dan apabila disebut kerajaan Malaysia, keputusan tentunya dibuat oleh Perdana Menteri.
Maka janganlah kita menipu diri sendiri. Apabila Felda dan bukan FGV yang mahu beli 37 peratus saham dalam syarikat Peter Sondakh, ia berlaku kerana Perdana Menteri mahukan ia sedemikian.
Di sinilah akan bermulanya masalah kepada kita. Kita sudah tahu model perniagaan Najib. Ianya 1MDB sekali lagi.
Felda pula mengisytiharkan akan membeli 37 peratus dari Eagle High Plantations dengan harga RM2.3 billion. Ini satu camera trick sahaja. Selepas FGV batalkan pembelian, Felda pula yang akan mengambil alih.
Mengapakah ladang Peter Sondakh ini terlalu penting dan mesti dibeli seolah-olah kalau tidak dibeli, dunia akan kiamat?
Memang benar pembelian ini akan memberi akses kepada Felda untuk tanah yang belum ditanam dan akan membaiki profil umur pokok sawit yang mereka ada, tetapi pembukaan ladang baru akan menelan belanja yang banyak juga.
Jadi saya tidak fikir Felda akan pinjam RM2.3 billion sahaja. Mereka mesti pinjam lebih. Kita berputar kembali kepada model yang melibatkan pembangunan perniagaan dengan menerbitkan instrumen hutang.
Felda menyatakan ia tidak menggunakan wang Felda. Ia tidak ada duit, jadi bagaimana boleh membiayai pembelian Eagle High? Apakah maksud sebenarnya? Adakah Felda akan berhutang dan membuat pinjaman? Kita sudah pun ada satu contoh perniagaan yang dibangunkan di atas hutang. Ia telah gagal dan hanya memberi peluang kepada beberapa individu merompak wang dari 1MDB.
Jadi bagaimana Felda membiayai pembelian ini? Bukankah ia memperolehi hampir RM10 billion pada tahun 2012? Dan sudah tentu ia mendapat pulangan dari pelaburan-pelaburan yang dibuat oleh pengurus-pengurus Felda yang bergeliga otak mereka itu.
Tetapi kita juga tahu, Felda berhutang dengan EPF sebanyak RM6.5 billion. Kos faedah bayaran hutang Felda akan bertambah, seterusnya akan mengurangkan rizab tunainya.
Setakat ini kita tahu sumber pendapatan Felda ialah pelaburannya. Ia tidak lagi meraih pulangan dari ladang kerana ladang seluas 360,000 hektar tersebut sudah pun dipajak kepada FGV selama 99 tahun dengan bayaran pajak RM250,000 setahun. Jadi, sumber pendapatannya sebanyak RM250 juta setahun dan 15 peratus kongsian untung operasi dari bisnes ladang FGV. Pulangan dari pelaburan lain pula semuanya teruk belaka.
Obligasi ke atas peneroka Felda masih tinggi. Dengan memindahkan sebahagian tanggungjawab mengendalikan perniagaan kepada FGV, mungkin Felda hanya memerlukan RM1 billion setahun untuk mengurus peneroka dan perniagaannya sendiri. Sebelum ini, ia memerlukan secara purata RM1.7 billion setahun.
Dengan pendapatan sekitar RM500 ke 600 juta, setiap tahun wujud defisit. FGV mengambil alih 30 hingga 40 peratus kos perniagaan Felda. Jadi, jika dahulu Felda memerlukan dana sebanyak RM1.7 hingga RM2 bilion untuk proses mentadbir dan mengurus, kali ini mereka dapat jimat hampir RM680 hingga 800 juta setahun. Namun, ia masih memerlukan sekitar RM1 bilion setahun dan dengan pendapatan RM500 hingga 600 juta setahun, masih ada defisit sekitar RM400 juta setahun.
Dari mana Felda mahu menampung defisit ini? Jika sekarang ia pemilik 37 peratus Eagle High, pulangannya setakat 37 peratus keuntungan. Malah, ia masih bergantung kepada kecekapan menjalankan perniagaan oleh Eagle High kerana tidak mempunyai kuasa ke atas pengurusan syarikat itu. Bolehkah 37 peratus pegangan dalam Eagle High memberi pendapatan paling kurang RM500 juta setahun?
Dengan penuh harapan menggunung, pengurusan Felda dengan segera menyatakan, pembelian ini akan meletakkan Felda di tempat yang strategik. Mengapakah kita tidak yakin dengan kenyataan ini?
Kehidupan di bawah sinar FGV selama ini tidaklah sebagus mana. Peneroka yang menghantar BTB (buat tandan baru) ke kilang-kilang FGV lambat mendapat pembayaran; kontraktor pengangkutan pula tidak dibayar segera. Peneroka mendapat pendahuluan sara hidup (secara hutang) sekitar RM1500 sebulan. Ini bukanlah durian runtuh kepada peneroka. Wang durian runtuh RM15,000 kepada satu keluarga dahulu sudah habis. Wang untuk tanam semula pula tidak mencukupi.
Mengapa Felda memilih untuk membeli ladang Peter Sondakh kawan Najib tetapi tidak mahu membantu peneroka? Felda masih bertanggungjawab ke atas golongan peneroka kerana mereka mendapat sewa berjumlah RM250 juta setahun dan 15 peratus dari untung operasi melalui perniagaan perladangan FGV.
Jika mereka ada wang sebanyak RM2.3 billion, mereka harus selamatkan peneroka dahulu dan beri mereka sara hidup lebih dari RM1500 sebulan. – Roketkini.com
*Datuk Mohd Ariff Sabri merupakan Ahli Parlimen Raub mewakili parti DAP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan