Khamis, 19 Januari 2017

Ada 'musuh dalam selimut' perjuangan Islam PPBM?

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
 
[ULASAN] Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau telahpun menarik balik dan memohon maaf atas kenyataannya bahawa sekolah agama adalah ancaman pada perpaduan negara.
 
Bagaimanapun Biro Pendidikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu pihak polis meneruskan juga siasatan menurut Akta Hasutan, kerana 'ia telah mengguris perasaan masyarakat Islam di negara ini.' 
 
"Kenyataannya dilihat sengaja mewujudkan kebencian, menghasut dan menimbulkan perasaan yang tidak tenteram dalam kalangan masyarakat," kata pengerusi biro pendidikan PPBM, Mohd Rafiq Naiza Mohideen.
 
Perihal sensitifnya kenyataan seumpama ini memang sukar dinafikan. Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menganggap pemikiran Dr Dominic itu sebagai biadap dan tidak memahami sejarah pembinaan negara. 
 
"Jika atas alasan ada pelajar keluaran sekolah agama ekstremis maka kita boleh beri alasan pelajar sekolah vernakular, sekolah aliran Inggeris, aliran kebangsaan juga ada melahirkan ekstremis.
 
"Apakah kita mahu cadang supaya sekolah ini juga dihapuskan? Tentu tidak. Ini adalah kes yang terpencil," katanya dalam satu kenyataan media. 
 
Malah Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati memberi pandangan terhadap sistem pendidikan terutama membabitkan sekolah aliran agama di negara ini. 
 
Katanya, jika ada pihak ingin mengaitkan sekolah agama sebagai ancaman perpaduan, mereka perlu terlebih dahulu memahami latar belakang pendidikan agama di negara ini yang tentunya sangat panjang.
 
"Tidak patut menuding jari mengatakan sekolah agama ada kaitan mana-mana pengganas kerana semuanya dipantau rapi kerajaan walaupun ia sekolah persendirian.
 
"Jika ada insiden yang berlaku, pihak yang mendakwa perlu spesifik dan tidak melabelkan sekolah agama secara keseluruhan," katanya.
 
Baik pemimpin PAS mahupun menteri Umno berkenaan memang wajar menegur kenyataan yang semberono sebegitu kerana tidak faham sejarah pembangunan pendidikan agama di Malaysia. 
 
Bagaimanapun bagi Biro Pendidikan PPBM untuk mengambil sikap yang kelihatan tegas begitu, ia seharusnya memahami sejarah perjuangan pemimpin-pemimpinnya terlebih dahulu.
 
Sebenarnya pemikiran yang agak tersasar daripada realiti sosio-politik Malaysia seperti yang disuarakan oleh Dr Dominic Lau bukanlah sesuatu yang baru.
 
Mungkin benar kata Naib Presiden PAS dan Menteri Pendidikan bahawa pandangan pemimpin Gerakan itu adalah kerana jahil soal sejarah pendidikan di negara ini. 
 
Bagaimanapun beliau segera menyedari keterlanjurannya dan memohon maaf tanda tidak mahu isu itu diperpanjangkan. 
 
Mahathir pernah 'setuju' sekolah pondok sarang ektremis
 
Bagaimanapun pada tahun 2001 seorang pemimpin negara yang mempunyai kuasa penuh bagaimana mahu menilai sistem pendidikan di Malaysia juga telah menghukum bahawa sekolah-sekolah agama adalah sarang ekstremisme.
 
Pemimpin berkenaan ialah Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau akur dan tunduk pada pemikiran presiden Amerika Syarikat ketika itu, George W Bush bahawa madrasah agama Islam ialah tapak penyemaian ideologi pengganas. 
 
Entah kerana takut ditekan oleh Amerika Syarikat secara politik atau ekonomi, Mahathir menarik balik semua bantuan pada Sekolah-sekolah Agama Rakyat (SAR) di Malaysia. 
 
Mungkinkah Dr Dominic Lau cukup bersetuju dengan pemikiran Mahathir itu sehingga gagal memahami sejarah dan realiti sosio-politik dan masih berpaut pada pemikiran Mahathir itu?
 
Anehnya, tidak seperti Dr Dominic, Dr Mahathir tidak pula menarik balik kenyataannya terhadap aktiviti sekolah-sekolah agama rakyat dan memohon maaf pada rakyat muslim di negara ini.
 
Namun syukurlah pengganti Mahathir sudahpun mengubah keputusan “kejamnya” terhadap SAR dan kini sistem integrasi pendidikan agama dan akademik sudah jauh berkembang. 
 
Sistem sekolah agama kerap membuktikan bahawa pelajar yang mengikuti silibusnya mampu menyesuaikan diri dengan tuntutan akademik sekolah arus perdana malah mencatat keputusan cemerlang. 
Dr Mahathir kerap juga menyuarakan rasa peliknya mengapa anak-anak Melayu profesional yang telah mendapat manfaat dari sistem pendidikan moden berlumba-lumba menghantar anak mereka belajar ke sekolah tahfiz dan agama.
 
Soalnya, bagaimana PPBM mahu menjadi juara mempertahankan sistem pendidikan agama Islam sedangkan pengerusinya sendiri tidak yakin dengan manfaat dan kebaikan sistem berkenaan? 
 
Amat malang bagi penyokong PPBM yang tidak memahami sejarah politik pemimpin mereka yang  sebenarnya tidak merestui dan tidak berkongsi sentimen dengan mereka. 
 
Bolehkah sikap, pemikiran yang negatif terhadap sistem pendidikan Islam ini dianggap sebagai satu unsur “musuh dalam selimut” dalam perjuangan PPBM mendaulatkan sistem pendidikan agama di Malaysia?
 
 

Tiada ulasan: