Oleh Haizal Yatiran
SHAH ALAM: PAS bersedia mengadakan perbincangan untuk menjalin
kerjasama politik dengan mana-mana parti dalam blok pembangkang,
termasuk parti baru yang diasaskan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Bagaimanapun Ketua Dewan Ulamanya Datuk Mahfodz Mohamed berkata, PAS
menolak untuk berbincang, apatah lagi bekerjasama dengan DAP dan Amanah.
"Dulu DAP yang singkirkan kita, lepas itu PAS dalam muktamar putuskan
hubungan dengan DAP. Kerana DAP memang menentang Islam berterusan,
presiden kita (PAS) dah tegaskan tidak akan bekerjasama dengan DAP.
"Begitulah juga dengan Amanah. Amanah itu merupakan parti yang kecewa
dengan PAS. Kita juga anggap (mereka) mengkhianati perjuangan PAS. Maka
ketika ini kita memang tidak akan bekerjasama dengan kedua parti.
"Tapi yang lain, kita boleh berbincang. Macam sekarang dengan IKATAN.
Mungkin dengan parti baru Bersatu (PPBM), walaupun kita belum membuat
keputusan.
"Tetapi itulah dasarnya, mana-mana parti yang nak kita bersama,
mestilah syarat utamanya (dan) menerima dapat bersama-sama memahami
perjuangan Islam. Jangan masuk campur, walaupun dia tak suka, diam
sajalah," tambah Mahfodz.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut kenyataan
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan kerjasama
parti itu bersama blok pembangkang.
Tuan Ibrahim membayangkan bahawa parti itu tidak akan menjalin sebarang
kerjasama dengan parti pembangkang yang lain, terutama PKR dan DAP.
Ini kerana katanya, mereka sering menyerang dan memfitnah presiden dan
PAS tetapi mahu menjalin kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14).
Sebaliknya parti itu mahu memperkukuhkan blok Gagasan Sejahtera.
Menurut Mahfodz lagi, kesediaan PAS untuk berbincang dengan blok
pembangkang ketika ini adalah kerana transformasi yang dibuat parti itu
dalam kaedah politiknya yang mengamalkan kematangan dan kesejahteraan.
Kita sekarang ini mempunyai kaedah yang baru dalam politik ini,
berdasarkan kepada politik matang dan sejahtera. Kita boleh bekerjasama
dengan mana-mana parti politik khususnya yang menyokong untuk
mendaulatkan Islam," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.