Anne Muhammad
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjangka selepas Akta 355
diperluaskan dan dilaksanakan, orang bukan Islam akan mula memilih
syariah Islam kerana melihat undang-undang itu dijalankan secara adil.
Katanya, situasi itu sangat digeruni oleh mereka yang membantah rang
undang-undang (RUU) ahli persendirian untuk meminda Akta Mahkamah
Syariah (bidang kuasa jenayah) yang juga dikenali sebagai Akta 355, bagi
memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah.
“Apabila bidang kuasa mahkamah syariah dilaksanakan, orang bukan Islam akan ada pilihan.
“Bila melihat undang-undang Islam lebih baik, secara automatik pada
akhirnya orang bukan Islam akan memilih syariah Islam, ini yang ditakuti
oleh puak-puak ini (menentang RUU 355),” katanya.
Hadi berkata demikian dalam ucapannya ketika majlis himpunan NGO-NGO Islam sempena Aidilfitri di Pusat Islam malam tadi.
Jelasnya sudah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam di negara ini
untuk menyokong RUU itu dalam usaha memperkasakan bidang kuasa mahkamah
syariah setanding mahkamah sivil.
“Tanggungjawab yang sangat penting pada hari ini adalah untuk meminda (Akta) 355 (mengenai) bidang kuasa mahkamah syariah.
“Kalau dia (orang Islam) tak nak naikkan taraf mahkamah dia, apa guna dia jadi orang Islam,” tegasnya.
Hadi turut membidas sebilangan orang Islam yang menolak undang-undang persendirian yang dibawanya sebagai ‘sangat pelik’.
“Mahkamah syariah hanya berkait dengan orang Islam sahaja, tak ada kena mengena dengan orang bukan Islam.
“Kenapa orang bukan Islam menentang, ini saya rasa pelik. Mengapa ada (orang) Islam menyokong bukan Islam, lagi pelik,” katanya.
Majlis malam tadi dihadiri seramai 400 orang dari pelbagai NGO Islam
seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Persatuan Silat Kebangsaan
Malaysia (PESAKA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
RUU Hadi mengenai Akta 355 itu dibentangkan di Parlimen pada 26 Mei,
hari terakhir persidangan, setelah dilangkau dalam dua persidangan
sebelumnya.
RUU itu, jika diluluskan di Parlimen, dilihat akan membolehkan
Kelantan melaksanakan hudud sebahagiannya apabila mahkamah syariah
kemudiannya akan dibenarkan untuk mengenakan semua hukuman hudud kecuali
hukuman mati.
Pada masa ini, kuasa-kuasa mahkamah syariah terhad kepada menjatuhkan
hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan