Isnin, 18 Julai 2016

PKR komitmen ke arah penyatuan semula PAS-DAP

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha PKR Selangor Amiruddin Shaari menegaskan parti itu sememangnya komited untuk melihat PAS dan DAP kembali menjalinkan kerjasama politik sebagaimana yang pernah berlaku pada 2008 dan 2013 lalu.
 
Jelasnya penggabungan semula kedua-dua parti pembangkang itu sebagai satu pasukan adalah lebih baik, daripada parti-parti pembangkang berpecah belah dan menyerang sesama sendiri yang menguntungkan Umno-Barisan Nasional (BN) khususnya pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) kelak.
 
"Selaku parti yang selama ini bersikap berbilang bangsa dan kita telah menunjukkan komitmen kita kearah penyatuan, saya rasa tidak ada masalah untuk secara sukarela kita cuba untuk mempertemukan mereka. 
 
"Kita kena melihat agenda lebih besar, jadi lupakan perbalahan dan persengketaan, kita patut lupakan beberapa titik perbezaan sebaliknya kita cari titik pertemuan," katanya ketika ditemui Antarapos dalam satu majlis.
 
Terdahulu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata semua parti politik perlu berhenti menyerang sesama sendiri dan bertindak melakukan gencatan senjata.
 
Gesaan itu nyata disambut baik Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali yang menyifatkan pendirian baru yang dikemukakan oleh PAS memberikan harapan kepada rakyat yang mahukan perubahan dalam negara.
 
Malah tambah Azmin, semua itu tidak mungkin dicapai tanpa perpaduan yang utuh di kalangan semua parti pembangkang terutamanya PAS dan DAP.
 
Mengulas mengenai itu, Amiruddin berkata tidak mustahil untuk kedua-dua parti berkenaan untuk kembali bekerjasama bagi memberi fokus kepada 'musuh sebenar', iaitu Umno dan BN.
 
"Kalau dulu agak mustahil untuk DAP bekerjasama langsung dengan PAS, dan ia terbukti mampu dilaksanakan pada 2008 dan 2013. Di Selangor masih lagi berjalan (kerjasama Pakatan Rakyat), jadi dalam politik saya tiada yang mustahil untuk berlaku," jelas Amiruddin lagi.
 
Justeru Amiruddin yang juga Exco kerajaan negeri berkata perkembangan itu amat positif kearah penyatuan semula pembangkang yang dimulakan oleh rakan sekutunya PAS.
 
"Setakat ini kita kekal yang sedia ada dan kita lihat masa perbincangan sebab itu baru-baru ini ada seruan tertentu yang mengalakkan supaya diadakan pertemuan, gencatan senjata dan sebagainya.
 
"Jadi saya anggap ini satu perkara yang positif dan masing-masing ada muhasabah setelah melalui beberapa proses pilihanraya contohnya Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak, dan Pilihanraya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar," katanya.
 
Biarpun gesaan itu diterima baik oleh PKR, namun DAP masih mendiamkan diri mengenai gesaan itu setelah terkuburnya Pakatan Rakyat tahun lalu. 


Tiada ulasan: