KEPALA BATAS: Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali tidak
yakin kerajaan DAP akan mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau
Pinang, melihatkan kepada tiadanya kesepakatan dalam kalangan kepimpinan
DAP dan Pakatan Harapan.
"Kepimpinan dalam Pakatan Harapan tidak bulat (sepakat) untuk adakan
pilihan raya. Jadi, walaupun ada desas desus mengenai PRN, PAS tidak
yakin ia akan diadakan.
"Lagi pun, cadangan untuk mengadakan pilihan raya negeri dibuat selepas
kes (dakwaan salah laku rasuah Ketua Menteri) Lim Guan Eng," katanya
pada sidang berita di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pulau Pinang
di Pongsu Seribu, semalam.
Bagaimanapun ujar Mustafa, PAS bersedia menghadapi pilihan raya itu sekiranya Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dibubarkan.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz yang
menghadiri sidang berita berkenaan, berkata DAP mahu mengadakan PRN itu
demi kepentingan parti itu dan bukannya rakyat.
"Tetapi, jika benar PRN diadakan dalam masa terdekat, jentera Pemuda sentiasa bersedia menghadapinya," katanya.
Semalam, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP dilaporkan berkata parti
itu masih menunggu persetujuan Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah
Negara sebelum mengadakan pilihan raya mengejut di negeri ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan