Isnin, 25 Julai 2016

PAS 'tongkat' Umno hanya persepsi Amanah - Penganalisis

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Beberapa pendirian PAS yang dilihat seolah-olah menyebelahi Umno, tidak bermakna parti berkenaan menjadi 'tongkat' kepada parti berasaskan Melayu itu sebagaimana yang didakwa Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
 
Penganalisis geopolitik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, PAS seperti mana yang ditekankan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengambil prinsip untuk menyokong perkara yang benar dan menolak yang sebaliknya. 
  
"Ia (PAS) seolah-olah melihat yang betul ia sokong, dan kebetulan memihak kepada Umno. Oleh kerana itulah saya rasa Amanah mengatakan yang banyak menyokong kepada apa juga perkara yang dibincangkan dan diperjuangkan Umno, adalah parti Melayu yang satu lagi. Parti itu PAS sendiri.
 
"Bila ini berlaku, ia boleh kata seolah-olah PAS ini penyokong kuat Umno. Tapi apa yang disuarakan PAS itu ialah kepada perkara yang mereka setuju dan sokong. Tak bermakna parti kuat yang menyokong Umno," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.
 
Mohamad atau Mat Sabu ketika Majlis Makan Malam anjuran DAP Selangor malam tadi mendakwa ada sebuah parti Melayu yang kini menjadi 'tongkat' baru Umno.
 
Walaupun Mat Sabu tidak menyebut PAS secara terbuka namun gambaran yang diberi mengenai parti yang dimaksudkan agak jelas.
 
Ujar Mat Sabu, Umno yang dahulunya kuat kerana MCA dan MIC sepatutnya rebah selepas kemerosotan dua parti berkenaan, namun keadaan tidak berlaku demikian berikutan ada parti Melayu lain yang datang 'menongkatnya' kini.
 
Pemimpin-pemimpin Amanah sebelum ini menuduh Hadi sebagai mesra Umno, lantaran beberapa kenyataannya yang seolah menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib razak.
 
Kelmarin Hadi berkata PAS tidak berhasrat untuk mendesak Najib berundur ekoran isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengemukakan saman sivil terhadap syarikat pelaburan kerajaan itu.
 
Hadi turut menjelaskan, bukan urusan PAS untuk menentukan sama ada Najib perlu undur atau sebaliknya.
 
Kenyataan Mat Sabu malam tadi itu membayangkan seolah-olah hubungan dingin di antara Amanah dan PAS akan berterusan.
 
Mengulas berhubung perkara itu, Mohd Fuad berkata, kedua-dua parti berkenaan hampir mustahil dapat bekerjasama bukan saja selepas 'sejarah pahit' ekoran perselisihan pendapat ketika di dalam parti yang sama sebelum ini.
 
Malah katanya, perbezaan hala tuju dan perjuangan parti masing-masing juga menjadi penghalang kepada kesepakatan yang cuba dibina di kalangan pembangkang.
 
"Apabila matlamat berbeza, sampai bila pun mereka tak boleh bersatu. Maknanya apa jua pertandingan sekiranya pilihan raya negeri Pulau Pinang berlaku, penyokong mereka pun terbahagi dua, orang melihat satu liberal dan satu totok Islam, bagaimana boleh duduk bersama?
 
"Akhirnya mereka kena bertanding bagi merebut sokongan orang Melayu,"ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: