MALAYSIAKINI
Bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pasrah jika
beliau dipecat dari Umno ekoran kelantangannya mengkritik kerajaan dan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ujar Ahmad Said, beliau menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno
untuk memutuskan kedudukan keanggotaannya dalam parti itu selepas
wujudnya desakan daripada segelintir pihak yang memintanya dipecat.
Beliau yang merupakan ketua Umno Kemaman berkata, sekiranya Majlis
Tertinggi ingin memecatnya dari parti, beliau akan akur dengan apa juga
keputusan yang akan dimuktamadkan nanti, memetik laporan Sinar Harian.
Bagaimanapun, pemecatannya, jika berlaku akan memberi kesan kepada
kedudukan kerusi parti berkenaan dalam dewan undangan negeri (DUN)
Terengganu kerana akan mengakibatkan jumlah kerusi yang dipegang akan
sama banyak dengan pembangkang iaitu 16-16.
“Saya tidak ada sebarang masalah dan akur terhadap apa juga keputusan
yang dimuktamadkan kelak, cuma apa sahaja keputusan nanti akan memberi
kesan kepada kedudukan dalam Dun.
“Pada masa sekarang, saya akan bertahan dan terus menumpukan tugas
sebagai wakil rakyat untuk membela nasib penduduk walaupun terpaksa
berdepan dengan pelbagai tohmahan buruk yang dilemparkan sesetengah
pihak,” jelasnya yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kijal.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan upacara
pecah tanah projek 30 unit rumah kedai Umno Bahagian Kemaman yang
bernilai RM45 juta yang dibangunkan dengan kerjasama Rayhar Properties
Sdn Bhd (Rayhar) di Kampung Dusun Nyior, semalam.
Dalam satu mesyuarat tertutup yang diadakan di Kuala Lumpur kelmarin,
ada segelintir pihak yang juga ahli Umno menggesa pucuk pimpinan Umno
memecat segera Ahmad Said ekoran kelantangannya mengkritik kerajaan dan
membuat usul undi tidak percaya pada sidang DUN yang lalu.
Baru-baru ini, Ahmad Said menolak pelantikan jawatan sebagai timbalan
pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang diumumkan
Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman.
Rombakan dan penstrukturan semula yang diumumkan Ahmad Razif selepas
mesyuarat exco negeri semalam melibatkan pertambahan dan pertukaran
tugas dalam usaha memantapkan pentadbiran negeri.
"Saya rasa sekarang ini saya lebih berminat bekerja secara sukarela
daripada dibayar gaji sebab saya dah berpencen," katanya pada sidang
media selepas mesyuarat jawatankuasa Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA)
di Kuala Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan