Selasa, 26 Julai 2016

DAP Sebar Islam Liberal Di Masjid – PAS Pulau Pinang







Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa menyebarkan ideologi Islam Liberal melalui Buletin Mutiara di masjid-masjid seluruh negeri, kata pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff.

Menurutnya, Buletin Mutiara, akhbar rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu telah disalahgunakan untuk menyebar doktrin politik DAP, termasuk menyiarkan artikel yang bercanggah dengan Islam.


“Sepatutnya sebagai akhbar rasmi, ia menyiarkan aktiviti kerajaan. Sebaliknya menyiarkan artikel bercanggah Islam dan mempromosikan Islam Liberal dan seumpamanya, terutama memuatkan tulisan dari Penang Institute.

“Jabatan Mufti perlu melihat serius perkara ini yang menimbulkan prejudis terhadap Islam. Tambahan pula akhbar ini disebar edar ke seluruh masjid-masjid dalam negeri ini.

“Sedangkan di masjid kita mengajar perkara yang membatalkan akidah, yang rosakkan Islam. Ini tidak wajar, ini macam hina Islam. Artikel-artikel dari Penang Institute ini kita lihat tidak sensitif pada umat Islam,” katanya pada sidang media sempena Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Pulau Pinang di Pejabat PAS Negeri, Pongsu Seribu.

Tambahnya, kini DAP cuba menjadikan Buletin Mutiara sebagai plafform propaganda sepertimana akhbar rasmi parti itu, The Rocket.

“Kalau tulis di akhbar Roket (milik DAP) lainlah, ini akhbar rasmi. Belanja duit rakyat tapi salah guna untuk doktrin DAP dan pemikiran bercanggah Islam,” katanya lagi.

Merujuk edisi terbaru Buletin Mutiara itu, beliau menyanggah tulisan Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkenaan Rang Undang-Undang Akta 355.

Bidasnya, tulisan Zairil yang juga Ketua Eksekutif Penang Institute itu adalah sama sekali tidak benar.

“Beliau telah menulis perkara yang tidak sepatutnya diucapkan sebagai orang Islam. Sebagai Ahli Parlimen jika beliau tidak puas hati (mengenai usul pindaan Akta 355) beliau boleh berbahas di Sidang Parlimen. Guna hujah-hujahnya di Parlimen,” gesa Fauzi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang telah beberapa kali memanggil Zairil meminta penjelasan.

Bagaimanapun katanya, Zairil tidak pernah datang dan sewajarnya jika Ahli Parlimen itu yakin hujah-hujah benar, beliau pasti berani datang untuk mempertahankan hujahnya secara akademik.

“Malangnya beliau tidak pernah hadir untuk mempertahankan tulisannya,” kata Afnan yang juga pernah menganggotai jawatankuasa tersebut.



Sebelum ini, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan mendakwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan berjuta-juta ringgit semata-mata untuk menyebarkan propaganda DAP melalui Buletin Mutiara di negeri itu.

“Buletin Mutiara telah menjadi suara DAP, jika kita lihat bahan-bahan yang disiarkan di dalam­nya hanya berkisar mengenai DAP.

“Hanya sedikit sahaja berita mengenai rakyat Pulau Pinang disiarkan di situ, tidak wajar kerajaan DAP Pulau Pinang mem­belanjakan wang rakyat yang begitu banyak untuk penerbitan Buletin Mutiara,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, kerajaan DAP Pulau Pinang telah membelanjakan RM35.94 juta bagi menerbitkan Buletin Mutiara sejak 2010 ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Cheng Guan, jumlah wang yang sebegitu banyak sepatutnya digunakan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang untuk memperkasa agenda rakyat seperti membina rumah-rumah kos rendah untuk rakyat yang kurang berkemampuan.

“Rakyat perlukan rumah, mereka tidak perlukan berita-berita propaganda yang disebarkan DAP melalui Buletin Mutiara.

“DAP, jika mahu menyebarkan propaganda parti gunakan wang parti,” jelas­nya. Katanya, laporan polis akan dibuat untuk menyiasat me­ngenai penggunaan wang dalam penerbitan Buletin Mutiara.

Tiada ulasan: