KUALA LUMPUR: Lelaki yang maut selepas ditembak lebih 10 das semalam,
baru dua minggu menukar kereta setelah mendapati ada pihak mengekorinya.
Rakan mangsa yang mendedahkan perkara itu berkata, mangsa yang
merupakan pengurup wang sebelum ini menggunakan kereta Toyota Camry.
"Baru dua minggu dia beli kereta baharu jenis Honda Accord. Dia tukar
kereta setelah mendapati ada pihak tertentu memantau pergerakannya.
"Saya jumpa mangsa sebulan lepas di sebuah hotel di Jalan Ipoh dan dia
tidak mengadu tentang apa-apa masalah (ketika itu). Kelakuan dia seperti
biasa," katanya.
Dalam kejadian 3.35 petang semalam, mangsa maut serta selepas ditembak
18 das dari jarak dekat, dengan 10 das mengenai badan mangsa.
Rakaman litar tertutup CCTV memperlihatkan dua lelaki yang membonceng
motosikal melepaskan tembakan dari arah kiri dan kanan kereta dipandu
mangsa yang ketika itu sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat
Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang.
Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, badan serta paha. Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Seorang saksi kejadian berkata bunyi tembakan bertalu-talu yang didengari ketika kejadian disangkakannya bunyi mercun.
"Saya ingatkan hanya bunyi orang main mercun, tak sangka pula ia datang
dari tembakan yang bertalu-talu," kata saksi yang hanya ingin dikenali
sebagai sebagai Sazwan.
Sazwan berkata beliau dan dua rakan sedang minum petang di gerai berhampiran tempat kejadian.
Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan sejurus selepas itu orang ramai bergegas mengerumuni kereta mangsa.
"Saya terkejut apabila mendekati kereta itu, terdapat banyak kesan
tembakan. Saya nampak pemandu kereta seorang lelaki dah terkulai dengan
kesan tembakan pada badannya," katanya.
Beliau berkata tiada penumpang dalam kereta berkenaan.
Katanya sejurus kejadian, orang awam menghubungi polis yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan