shahbudindotcom
Muhyiddin
Yassin bersetuju untuk bekerjasama dengan PKR bagi mengadakan siri
jelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan mengenai skandal 1MDB dalam
bahasa paling mudah kepada orangramai.
Persetujuan
itu diumumkan dalam suatu sidang akhbar di Subang Jaya pada tengahari
Sabtu dengan dihadiri Muhyiddin sendiri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azmin
Ali dan lain-lain pemimpin PKR.
Menurut
Muhyiddin, penjelasan dalam bahasa yang mudah meliputi kawasan bandar
dan luar bandar itu adalah penting supaya rakyat mendapat gambaran
sebenar dan faham beban 1MDB kepada negara.
Ini kerana, katanya, isu melibatkan skandal 1MD bukan saja menjadi bualan dalam negara, bahkan juga sehingga ke luar negara.
Saya
sokong inisiatif yang dicadangkan ini, malah perlu dipertingkatkan
lagi. Kalau rakyat tidak disedarkan mengenai kuasa mereka dalam
menentukan masa depan negara, sampai bila pun mereka tidak akan sedar,
ujar Muhyiddin dalam ucapannya.
Bagaimana
untuk menggambarkan skandal 1MDB ini dalam bahasa paling mudah untuk
difahami, khususnya kepada orang-orang kampung dengan matlamat akhirnya
supaya mereka akan menolak UMNO dan BN yang diketuai oleh Najib Razak?
Jika
diimbas pelbagai isu yang timbul yang berpunca daripada 1MDB daripada
awal sehinggalah kepada Jabatan Kehakiman AS mengambil tindakan di bawah
Inisiatif Pengambilan Semula Aset Kleptokrasi (harta curi) baru-baru
ini, bahasa paling mudah untuk menggambarkannya ialah syarikat itu
merupakan lubuk pencurian terhebat, bukan saja dalam negara, tetapi juga
di dunia.
Untuk
aktiviti pelaburan dan menambah pendapatan negara, sebenarnya tidak
perlu sama sekali ditubuhkan 1MDB kerana kita sudah pun mempunyai
Khazanah Nasional yang telah ditubuhkan sejak sekian lama?
Kenapa perlu ditubuhkan sebuah syarikat lain untuk menjalankan aktiviti pelaburan juga?
Jawapannya
tentu saja ialah kerana Khazanah tidak boleh dipergunakan sesuka hati
sepertimana 1MDB dioperasikan, lebih-lebih bukan saja Najib meletakkan
dirinya sebagai pemberi kata putus dalam urusan perniagaan dan
pelaburannya, malah melalui 1MDB jugalah diletakkan Jho Low untuk
mencatur segala-galanya.
Semua itu tidak mungkin dapat dilakukan melalui Khazanah.
Melalui
1MDB, ia digunakan untuk meminjam secara besar-besaran atau menjual bon
bagi membiayai aktiviti pelaburannya. Walaupun terikat dengan komisen
yang tinggi, 1MDB juga diberikan tanah kerajaan TRX dengan harga RM60
sekaki, meskipun harga pasaran mencecah RM3,000 sekaki. Tanah di tapak
TUDM Sungai Besi juga diberikan kepada 1MDB dengan harga yang tidak
didedahkan.
Daripada
sebahagian wang penjualan bon itulah yang menurut Jabatan Kehakiman AS
munculnya komplot pencurian berkali-kali dengan cara melencongkan
sebahagian wang yang asasnya diperolehi melalui pinjaman dan penjualan
bon.
Pembeli
utama bon 1MDB ialah syarikat seperti Tabung Haji manakala pemberi
pinjaman ialah KWAP atau Kumpulan Wang Amanah Pencen. Bermakna, akhirnya
wang rakyat juga digunakan tetapi dengan cara penuh berhelah.
Tanah
harga murah itu secara mudahnya ialah untuk membayar balik pinjaman
yang dibuat oleh 1MDB yang termasuk di dalamnya wang yang dilencongkan
atau dicuri itu. Usaha lain untuk membayar hutang-hutangnya ialah dengan
menyenaraikan 1MDB di bursa saham, tetapi tergendala akhirnya kerana
terlebih dahulu terdedah satu demi satu "pekung" tentang aktiviti yang
dijalankannya.
Melalui
pencurian wang tersebut, ia bukan saja digunakan untuk kekayaan
peribadi beberapa orang tertentu dan membeli hartanah mewah, lukisan
mahal, membuat filem, berjudi, bersiar-siar dengan kapal, dimasukkan ke
dalam akuan bank peribadi Malaysian Official 1 sebagaimana yang disebut
oleh Jabatan Kehakiman AS dan sebagainya, bahkan di pihak 1MDB pula
dilakukan tajaan menunaikan haji dalam kouta tertentu serta
program-program sosial.
Ia
merupakan aktiviti licik untuk mengaburi pencurian yang dilakukan. Ia
seperti menggunakan wang rompakan untuk sedekah membaiki masjid atau
meletakkan RM50 wang curi dalam Surah Yassin dalam majlis tahlil yang
diadakan pada malam Jumaat.
Adakah
wajib 1MDB membuat tajaan haji sedangkan ia sendiri berhutang keliling
pinggang dan tidak pernah mengutip keuntungan dalam operasi
perniagaannya?
Jadi,
bahasa paling mudah yang mungkin boleh digunakan untuk menjelaskan
kepada orangramai mengenai skandal 1MDB, termasuk orang kampung ialah ia
merupakan lubuk pencurian berlapis-lapis yang kemudian cuba dikaburi
daripada pandangan umum dengan aktiviti sosial dan keagamaan yang
dijalankannya.
Sebab
itu juga, program memakai jubah dan "ya hanana" kelihatan begitu
menonjol dan aktif ketika ini berbanding era Tun Mahathir mahu pun Tun
Abdullah Badawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan