Ahad, 31 Julai 2016

Perjuangan bangsa, agama halang ahli keluar Umno, dakwa Mukhriz

 
Bekas menteri besar Kedah itu mendakwa Umno tidak lagi memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara.


mukhriz-umn


PUTRAJAYA: Sesetengah ahli teragak-agak meninggalkan Umno kerana terikat dengan perjuangan bangsa dan agama oleh parti tu, dakwa bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Saya bercakap dengan sebahagian daripada mereka, mereka tidak rasa boleh tinggalkan parti kerana mereka berada dalam Umno untuk (memperjuangkan) bangsa, agama dan negara.

“Tetapi, keadaan tidak sama lagi,” katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Bercakap di hadapan lebih 100 hadirin, Mukhriz berkata, amalan rasuah di Malaysia mencapai tahap “memalukan”, justeru mereka yang mahu membetulkan keadaan itu boleh menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Jika anda mahu masa depan yang cerah untuk anak-anak dan cucu-cucu anda, sertailah kami.

“Jika anda fikir apa yang berlaku sekarang (rasuah dan penyalahgunaan kuasa) perlu dihentikan, jika anda mahu sebuah kerajaan yang integritinya tidak akan dipersoalkan dan seorang pemimpin yang tidak akan menggelapkan duit rakyat, maka sertailah kami,” katanya.

Mukhriz berkata, Dr Mahathir sendiri akan menyerahkan dokumen diperlukan kepada Pendaftar Pertubuhan tidak lama lagi dan berharap tiada cubaan menghalang proses itu.

“Jika anda kata Malaysia sebuah negara demokratik, biarlah kami tubuhkan parti itu,” katanya.

Ditanya jika mereka sudah berjumpa dengan parti lain dan NGO, beliau berkata: “Ya. Matlamat kami adalah menjatuhkan BN pada pilihan raya umum akan datang.

“Kami tidak berminat menjadi parti pembangkang,” tambahnya.

Turut hadir ialah isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Bekas perdana menteri itu pada asalnya dijadualkan menghadiri rumah terbuka itu tetapi beliau perlu berehat di rumah kerana faktor kesihatan.

Perdana Menteri paling lama berkhidmat di negara ini keluar Umno pada Februari lalu bersama isterinya.

Mukhriz pula dipecat daripada parti itu pada 24 Jun lalu kerana bekerjasama dengan parti pembangkang dalam usaha menggulingkan perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan pimpinannya.

Susulan itu, Dr Mahathir pada 14 Julai lalu mengumumkan sebuah parti baharu dalam perancangan untuk menjatuhkan kerajaan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Tiada ulasan: