Cadangan Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang dibatalkan, susulan tidak mendapat persetujuan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan perkara itu dekat Komtar di sini pagi ini.
"Memandangkan PKR tidak bersetuju untuk diadakan Pilihan Raya Negeri lebih awal, DAP tidak akan meneruskan cadangan ini.
"Sungguhpun Amanah bersetuju dengan DAP, kita telah nyatakan sebelum ini bahawa DAP tidak akan membuat keputusan secara berseorangan, tetapi hanya menerusi persefahaman bersama ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan," ujar Guan Eng, selepas mengadakan mesyuarat DAP membabitkan pemimpin tertinggi parti serta pemimpin negeri pada pagi tadi.
Tegasnya, hasrat DAP itu sebelum ini adalah strategi proaktif supaya rakyat boleh membuat pendirian untuk mandat baharu bagi Kerajaan Negeri, ketika Peguam Negara Amerika Syarikat merampas aset-aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai AS$ 1 bilion.
"Kita harus menggunakan peluang ini (PRN) untuk membolehkan rakyat membuat penghakiman mereka (melalui proses membuang undi) dalam skandal yang dianggap terbesar di dunia.
"Kami daripada DAP tidak gentar untuk mengembalikan mandat kepada rakyat...dan saya rasa strategi proaktif DAP ini adalah betul aibkan kita lihat Barisan Nasional menentang adanya PRN lebih awal di Pulau Pinang.
"Selalunya Barisan Nasional akan bersetuju dengan cadangan DAP ini, tetapi ini luar biasa kerana mereka tahu skandal 1MDB ini akan mendapat perhatian yang lebih besar jika pilihan raya negeri lebih awal berlaku," ujar Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.
Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan merangkap Timbalan Pengerusi DAP Negeri) serta beberapa pemimpin utama parti lain.
Semalam, Guan Eng memberitahu, keputusan rasmi PKR itu disampaikan oleh Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Besar Selangor, semalam.
Pada 20 Julai lalu, Azmin bersama-sama Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar serta Pengarah Strategik PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Kunjungan hormat itu untuk mendapatkan maklum balas mengenai hasrat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) untuk mengadakan pilihan raya mengejut di negeri ini.
Menurut Guan Eng, hasrat DAP itu tidak akan diteruskan secara uliteral, melainkan mendapat persetujuan daripada KeADILan dan Parti Amanah Negara (Amanah) terlebih dahulu.
Selepas itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu secara verbal memberi isyarat bahawa pihaknya bersetuju dengan hasrat DAP takut, jika dipersetujui bersama-sama PKR dalam mesyuarat Majlis Pemimpin Pakatan Harapan kelak.
Manakala, Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia berkata partinya kurang yakin dengan hasrat DAP itu.
Dr. Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh bagaimanapun berkata partinya bersetuju untuk meneruskan perbincangan dalam beberapa hari lagi, dan semalam PKR mengeluarkan pendirian rasmi untuk tidak bersetuju dengan hasrat mengadakan PRN lebih awal di Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan