Jumaat, 29 Julai 2016

10 kes tembak mati di Lembah Klang, apa sudah jadi?


 
Oleh KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN


Berdasarkan fakta kes yang didapati menerusi media, sekurang-kurangnya terdapat 10 kes tembak mati berlaku di Lembah Klang sejak dari bulan Januari hingga Julai 2016.

Apa sudah jadi? Tidakkah ini mencerminkan jenayah keganasan semakin menular dalam kalangan masyarakat bandar? Adakah kadar jenayah benar-benar menurun sehingga 20 peratus di Kuala Lumpur sepertimana didakwa sebelum ini?

Keadaan semasa telah memberikan gambaran sebenar meskipun kadar jenayah khususnya jenayah jalanan menurun, tetapi kes-kes jenayah keganasan semakin menjadi-jadi pada tahun ini. 

Lebih membimbangkan jenayah keganasan yang berlaku bersenjatakan pistol, di kawasan awam dan dilakukan pada waktu siang. Hal ini membuktikan fokus kerajaan (NKRA) dalam mengurangkan indeks jenayah negara dan meningkatkan kondusif selamat dalam kalangan masyarakat semakin gagal!

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) sangat bimbang jika jenayah-jenayah keganasan didalangi oleh kumpulan-kumpulan mafia. 

Sebanyak 49 jumlah kumpulan kongsi gelap telah didedahkan oleh Kementerian Dalam Negeri tahun lalu, dan 24 daripadanya sedang aktif menjalankan kegiatannya di Kuala Lumpur atau Lembah Klang. Secara purata, mereka mempunyai ahli berdaftar sekitar 20,000 orang. Apakah perasaan masyarakat apabila mengetahui keadaan ini?

DPPWP menggesa pihak polis agar dapat meningkatkan kawalan dan aktiviti membanteras sindiket kongsi gelap atau kumpulan mafia di seluruh negara. 

Kita tidak mahu negara yang disayangi ini dicemarkan oleh aktiviti-aktiviti ganas sehingga boleh menggugat keamanan masyarakat. 

Kira-kira 70% penduduk akan mendiami kawasan bandar di Malaysia kerana faktor sosio-ekonomi menjelang tahun 2020, dan proses perbandaran ini akan terbantut sekiranya masalah kebejatan jenayah akan terus membelenggu perasaan rakyat. 

DPPWP turut menggesa rakyat untuk bertekad menyokong pelaksanaan undang-undang jenayah Syari’ah di Malaysia sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan kadar jenayah. 

Ini bukan hanya bersifat punitif (hukuman) semata-mata malah bersifat preventif (pencegahan). 

DPPWP meyakini maslahah di sebalik pelaksanaan ini dan kami berharap agar usaha ke arahnya boleh digemburkan,  secara berperingkat-peringkat daripada pelbagai pihak. -
 
*  Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
 
 

Tiada ulasan: