Khamis, 28 Julai 2016

Tindakan Pemuda Umno ‘bongkar’ rahsia Najib, 1MDB – PAS

INTAN NUR IDAYU


1MDB-Najib-PAS-UMNO


KUALA LUMPUR: PAS percaya lebih banyak ‘rahsia’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) akan terbongkar ekoran daripada laporan polis yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan baru-baru ini yang mendakwa kononnya wujud konspirasi untuk guling Najib menggunakan 1MDB.

Menurut Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, walaupun laporan polis yang dibuat oleh Azwan itu menjadi bahan ketawa rakyat di negara ini kerana menamakan tiga orang individu yang terkenal dengan jasa mereka kepada negara, tetapi bagi Idris ia adalah satu tindakan yang mengampu Najib.

“Ini petanda sokong membawa rebah. Kalau pun hendak mengampu jangan terlajak sangat. Kalau hendak jet tayar kereta, jangan jet tinggi sangat, nanti terbalik kereta,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata demikian merujuk kepada tindakan Azwan membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Gebenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pada Selasa lalu dengan mendakwa ketiga-tiga individu ini mendedahkan maklumat mengenai 1MDB kepada Amerika Syarikat dengan tujuan untuk menjatuhkan Najib.

Tegas Idris, tindakan Azwan ini sama seperti menjolok sarang tebuan kerana beliau percaya sebagai bekas kakitangan kerajaan yang berpengalaman, mereka tidak takut untuk berdepan dengan pergi ke mahkamah dan memberitahu perkara sebenar.

“Walau pun mereka berhenti dengan penuh misteri dan menjadi tanda tanya di kalangan rakyat. Apakah akan terbongkar banyak perkara apabila mereka menjawab tuduhan yang berat di dalam mahkamah nanti.

“Sama-sama kita tunggu episod seterusnya,” kata pemimpin PAS itu.

Baru-baru ini, Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) memfailkan tuntutan sivil hartanah bernilai lebih AS$1 bilion (RM4 bilion) yang dikaitkan dengan syarikat 1MDB.

Difahamkan, saman itu telah menamakan Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib), ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low, Tan Kim Loong, serta pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny dalam dakwaan penyelewengan dana tersebut.

Dokumen 136 halaman itu turut mendakwa sebanyak AS$731 juta disalurkan dari 1MDB ke dalam akaun bank milik Malaysian Official 1. Namun, ia tidak menyatakan siapakah Malaysian Official 1 yang dimaksudkan itu.

Sebaliknya, ia hanya menyatakan Malaysian Official 1 sebagai pegawai berpangkat tinggi dalam Kerajaan Malaysia yang turut memegang jawatan yang berkuasa dengan 1MDB.


Tiada ulasan: