Ahad, 31 Julai 2016

Ketum mampu jana pendapatan negara - Pengerusi Risda

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
PADANG BESAR: Ketum berpotensi menyumbang pendapatan berbilion ringgit kepada negara, kata Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Zahidi Zainul Abidin.
 
Beliau berkata, cadangan penanaman ketum secara terkawal yang dikemukakannya lebih kepada tujuan eksport kerana terdapat permintaan ketum dari syarikat farmasi di Eropah dan Amerika Syarikat.
 
Jelasnya, syarikat-syarikat farmasi itu nampak kebaikan tanaman itu sebagai alternatif untuk perubatan moden kerana ketum didapati memiliki ramuan penting dalam pembuatan ubat bagi kegunaan musim sejuk.
 
“Mereka (negara lain) akan mempatenkan segalanya sebelum dipasarkan ke seluruh dunia dan kita perlu bertindak pantas dalam isu ini,” katanya yang dipetik Bernama ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Umno Padang Besar di Taman Beseri Indah, semalam.
 
Ini kerana, katanya, farmasi di Eropah dan Amerika Syarikat banyak membuat penyelidikan mengenai tumbuhan itu, termasuk Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang.
 
“Sekolah Menengah Sains Tengku Mohamad Jiwa, Sungai Petani (Kedah) pula mendapat anugerah peringkat Asian kerana membuat kajian mengenai ketum.
 
“Masalah yang berlaku ialah terdapat segelintir orang yang mencampurkan air rebusan ketum dengan bahan lain seperti ubat nyamuk dan ubat gegat untuk menjadikan peminumnya merasa khayal.
 
“Sejak zaman duhulu ketum digunakan dalam perubatan tradisional untuk memulihkan tenaga, rawatan kolesterol, kencing manis dan cirit-birit.
 
“Saya sudah kemukakan cadangan kepada kerajaan dan masyarakat. Sekarang terpulang, jika kita tolak, beberapa negara lain bersedia menanam ketum untuk memenuhi permintaan tersebut,” katanya.
 
Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Besar berkata, Risda perlu mencari alternatif lain disebabkan harga getah yang tidak stabil dan ramai yang menentang cadangan penanaman ketum itu.
 
Cadangannya itu ditentang beberapa pihak termasuk Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang menegaskan pemilik tanah yang baru mendapat geran hak milik akan ditarik balik hak milik itu sekiranya didapati menanam pokok ketum di tanah mereka.
 
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut melarang pekebun kecil menanam ketum secara komersil sebagai sumber pendapatan tambahan.
 
 

Tiada ulasan: