KUALA LUMPUR: Keputusan PKR yang enggan bersetuju dengan cadangan DAP
berhubung pilihan raya negeri di Pulau Pinang, mengundang pertikaman
lidah di antara pemimpin kedua-dua parti berkenaan.
Terbaru, Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya membidas kenyataan
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, dengan mempersoalkan
siapakah pihak pertama mendedahkan mengenai pilihan raya mengejut
tersebut.
"Pertamanya betulkan kenyataan anda, siapa secara bersendirian umumkan
pilihan raya mengejut? Siapa secara sendirian mengumumkan terkuburnya
pakatan rakyat? Siapa yang umum pembentukan pakatan harapan kepada media
sebelum keputusan muktamad?
"Jangan menjerit sewaktu terjun dan kemudian mengharapkan kami
menjelaskan berapa tinggi," katanya dalam catatan Facebooknya yang
dipetik daripada portal online The Star.
Sindiran Latheefa itu dipercayai ditujukan selepas Pua meluahkan
kekecewaannya dan pada masa sama bertindak menyindir rakan politik yang
tidak membantu di kala DAP memerlukan sokongan.
Semalam, Pua menulis: "Kadang kala anda terfikir apakah jenis sahabat
yang anda miliki. Apabila mereka dilanda krisis, anda menyokong mereka
tanpa soal, walau apapun bahana yang datang,” katanya dalam satu posting
di akaun Facebooknya petang tadi.
"Kemudian apabila giliran anda pula memerlukan sokongan, mereka menceritakannya di media dahulu, menyebabkan anda terdedah.
"Atau mengumumkanya secara terbuka ke seluruh dunia, sebelum memberitahu anda dahulu," demikian luah Pua menerusi Facebook.
Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR pada malam Selasa memutuskan
bahawa parti itu masih belum yakin dengan cadangan DAP mengadakan
pilihan raya mengejut di Pulau Pinang.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, mesyuarat
tersebut membangkitkan beberapa persoalan dasar berkaitan rasional
mengadakan pilihan raya, dan membuat keputusan berkenaan selepas
mengambil kira pendapat masyarakat umum.
Rakan ketiga dalam Pakatan Harapan, Amanah pula menyatakan ia menyokong
syor DAP mengadakan pilihan raya mengejut di negeri berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan