MALAYSIAKINI
Berbicara mengenai rancangan parti baru, bekas timbalan presiden
Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyamakan parti pemerintah tersebut
sebagai 'kereta rosak yang perlu diganti'.
"Umno sekarang seperti kereta buruk, bila baiki rosak lagi, jadi kita tukar kereta baru lah," ujar beliau, memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
"Nak baiki macam mana lagi Umno ini? Nak pinda perlembagaan? " tanya beliau.
Menurut Muhyiddin, beliau bersama-sama bekas perdana menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad telah mempengerusikan jawatankuasa perlembagaan parti,
namun, tiada apa yang telah berubah.
"Tapi tak berubah, macam itu lah juga Umno, lebih lagi bila presiden
partinya menjadi seorang yang amat tak bertanggungjawab," jelasnya,
menurut laporan akhbar berbahasa Melayu itu.
Umno akhirnya memecat Muhyiddin bulan lalu selepas dia berulang kali
mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal
1MDB.
Terdahulu, beliau dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri dalam
tindakan drastik yang turut menyaksikan tempat Peguam Negara, Tan Sri
Abdul Gani Patail digantikan dan pasukan petugas khas menyiasat 1MDB
dibubarkan.
Sejak pemecatannya dari parti pemerintah, Muhyiddin bersama-sama
dengan Mahathir telah beralih platform kepada pakatan pembangkang untuk
menangani Barisan Nasional.
Semalam, Muhyiddin menyertai bekas musuhnya, PKR untuk memulakan
kempen menjelaskan kepada umum mengenai skandal 1MDB bagi meningkatkan
kefahaman awam mengenainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan