BATU KAWAN:
Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP mempunyai prerogatif untuk mengadakan
pilihan raya mengejut di negeri ini, tanpa perlu mengadakan persidangan
tergembar Dewan Undangan Negeri, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng hari
ini.
Beliau berkata menurut perlembagan
negeri, kerajaan Pakatan yang ada sekarang, mempunyai kuasa untuk
mengadakan pilihan raya awal dan ini tiada kena- mengena dengan Barisan
Nasional (BN).
“BN sudah melakukannya banyak kali,
(mengadakan) pilihan raya umum awal pada 1978, 1982 dan 1986 kerana,
menurut Perlembagaan Persekutuan, ia berhak berbuat demikian dan, di
Pulau Pinang, kami hanya perlu mendapatkan restu Yang Dipertua Negeri,”
katanya kepada pemberita selepas merasmikan galeri jualan Aspen Group di
Bandar Cassia di sini.
Lim berkata demikian sebagai respons
terhadap kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Betong Mohd Farid
Saad daripada BN semalam bahawa persidangan tergempar Dewan Undangan
Negeri perlu diadakan bagi membincangkan cadangan pilihan raya mengejut
itu.
Lim, yang juga setiausaha agung DAP,
berkata cadangan itu bukan perkara baharu kerana BN pernah melakukannya
di peringkat persekutuan, dan ia tiada kena-mengena dengan parti
pembangkang di negeri ini sekiranya kerajaan negeri ingin mengadakan
pilihan raya awal.
Lim juga mencadangkan agar Mohd Farid
mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan negeri atau ketua
menteri sekiranya beliau tidak berpuas hati tentang perkara itu.
“Kami hanya membincangkanya dalam kalangan (rakan) gabungan Pakatan, tidak dengan pembangkang di negeri ini,” katanya.
Selasa lepas, Presiden PKR Datuk Seri Dr
Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan parti itu masih belum yakin dengan
cadangan DAP untuk mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang.
Isu pilihan raya negeri timbul apabila
media tempatan melaporkan bahawa DAP menyenaraikan dua pilihan berikutan
tuduhan rasuah yang dihadapi Lim.
Satu daripadanya ialah mengadakan
pilihan raya mengejut bagi mengetahui respons rakyat Pulau Pinang
terhadap tuduhan yang dikenakan terhadap Lim, satu lagi ialah menunggu
pilihan raya umum akan datang yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada
Ogos 2018.
Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi, 19 daripadanya disandang DAP; PKR (10); BN (10) dan PAS satu. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan