Kow Gah Chie
LIHAT VIDEO DI SINI
Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) tidak boleh mengadakan
perhimpunan BERSIH 5.0 jika ia bertujuan menggulingkan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak, demikian menurut Ketua Polis Negara (IGP), Tan
Sri Khalid Abu Bakar.
"Kami tidak akan membenarkannya kerana ada cara untuk meminta perdana
menteri meletak jawatan seperti yang dinyatakan dalam undang-undang,"
ujar Khalid semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.
"Jika mereka meminta perdana menteri meletak jawatan mengikut undang-undang, kita boleh menerimanya," jelas beliau lagi.
Jika semua pihak menganjurkan perhimpunan mengikut undang-undang, maka polis akan membantu mempermudahkannya, tambahnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan penganjuran
BERSIH 5.0 di tengah-tengah ledakan isu tindakan perundangan sivil oleh
Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat ke atas 1MDB.
Sebelum ini, Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah mengesahkan suatu
perhimpunan sedang dirancang berikutan perkembangan terbaru dengan saman
sivil berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat.
Maria berkata, pihaknya bersetuju bahawa sekarang adalah masa yang
tepat untuk satu lagi perhimpunan tetapi berkata, kumpulan reformasi
pilihan raya itu sedang dalam proses perbincangan.
"Proses BERSIH adalah kita perlu berbincang dengan NGO sebelum
membuat sebarang keputusan, yang pasti agenda itu di atas meja kami,"
jelas Maria lagi.
Terdahulu, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut
mencadangkan agar rakyat Malaysia mengadakan perhimpunan aman untuk
menuntut peletakan jawatan Najib.
Sementara itu, jika BERSIH 5.0 diadakan, seorang pemimpin Umno
berjanji akan membawakan Himpunan Baju Merah versi kedua untuk berdepan
dengan mereka.
Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos berkata, jika ia
berlaku, dianggarkan lebih 300,000 orang akan turun dan "memerahkan
Kuala Lumpur" pada hari berkenaan.
"Perhimpunan itu akan diadakan pada tarikh dan waktu sama dengan program BERSIH," kata Jamal lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan