Oleh Muhammad Asyraf Azlan
SHAH ALAM: Jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang dicadangkan
DAP menjadi kenyataan, ia merupakan peluang keemasan kepada Barisan
Nasional (BN) untuk merampas kembali negeri itu daripada pembangkang.
Penganalisis Politik, Edwin Michael berpendapat, DAP akan kehilangan
sokongan orang Melayu berdasarkan permusuhan dengan PAS, dan hanya
mengharapkan Amanah bagi meraih undi kaum berkenaan.
Apatah lagi DAP juga sudah dilabel sebagai anti-Islam apabila menolak
Rang Undang-Undang (RUU) persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS,
Datuk Sri Abdul Hadi Awang, ujar beliau.
"Sebelum ini pada pilihan raya yang lepas DAP dan PAS mempunyai
persefahaman jadi banyak undi-undi terutama undi orang Melayu pergi
kepada DAP tapi sekarang DAP dilabel sebagai anti Melayu, anti Islam
dalam isu-isu yang melibatkan hudud dan sebagainya.
"Undi Melayu kali ini akan kepada siapa memandangkan kita ada PAS, DAP
dan kita juga Amanah. Siapa yang akan dapat undi-undi Melayu ini dan
sebab itu saya katakan ini satu peluang keemasan untuk BN meraih kembali
undi-undi Melayu yang sebelum ini semua lari kepada pembangkang,"
katanya ketika dihubungi Antarapos, di sini hari ini.
Tambah Edwin lagi, dengan faktor keadaan pembangkang yang dilihat tidak
sepakat, tidak mustahil Pulau Pinang akan kembali kepada BN sekiranya
PRN diadakan.
"Keadaan pembangkang sekarang dilihat agak kelam kabut kerana daripada
awal lagi jika kita lihat pada Pilihan Raya parlimen di Sungai Besar dan
Kuala Kangsar dan sampai sekarang isu pembangkang masih lagi belum
diselesaikan.
"Isu pembangkang yang saya maksudkan adalah isu-isu melibatkan DAP dan
juga PAS. Selagi tidak ada kesefahaman antara mereka atau erti kata lain
'gencatan politik' selagi itu pembangkang akan jadi sangat kelam kabut
kerana mereka tidak ada satu arah tuju yang konsisten," katanya lagi.
Edwin juga tidak menolak bahawa faktor-faktor berkenaan menjadi antara
sebab mengapa PKR masih belum memberikan persetujuan terhadap cadangan
DAP itu.
"Ini sebenarnya bukanlah masa yang sesuai untuk adakan PRN di Pulau
Pinang dan sebab itu kita boleh lihat PKR teragak-agak untuk bersetuju
dengan cadangan Lim Guan Eng ini.
"Dalam isu ini juga Lim Guan Eng mengambil mudah menganggap bahawa DAP
boleh menang sapu bersih kerusi sekiranya bertanding di PRN dan menang
dengan majoriti yang lebih besar kerana keyakinannya," ujarnya.
Setakat ini, kerajaan DAP Pulau Pinang hanya menunggu jawapan daripada
PKR, selepas Amanah menyatakan sokongan terhadap cadangan mengadakan
pilihan raya mengejut di negeri itu.
Parti pimpinan Mohamad Sabu itu telah menyatakan persetujuan untuk
bertanding pada pilihan raya negeri berkenaan sekiranya Dewan Undangan
Negeri (DUN) dibubarkan.
PKR akan bermesyuarat pada malam ini bersabit cadangan pilihan raya mengejut berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan