Isnin, 18 Julai 2016

Wakil rakyat PKR tuntut janji era Muhyiddin

MALAYSIAKINI


Kerajaan didesak mengotakan janji membina tapak baru sebuah sekolah di Perak, bernilai RM4.887 juta yang tertangguh sejak lima tahun lalu.

Anggota parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye berkata, janji untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Gunung Rapat dibuat pada 2011 ketika era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pelajaran.

Ia, kata Lee, dibuat dalam majlis penyambutan Hari Deepavali di Ipoh pada 2011.

“Namun, sehingga hari ini tiada sebarang kerja yang telah dijalankan, malah tapak sekolah baru berkelulusan 2.4 ekar yang terletak di kawasan Sri Ampang kini dipenuhi dengan semak-samun dan menjadi seolah-olah tanah terbiar,” katanya.

Lee mendakwa sekolah tidak pernah mendapat sebarang maklum balas daripada kerajaan persekutuan berkenaan status pemberian peruntukan mahupun perkembangan terkini projek.

Dalam kenyataan hari ni, Lee berkata beliau telah melawat tapak baru itu bersama beberapa wakil rakyat pembangkang hari ini.

Katanya, beliau dan Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pulai Tan Kar Hing telah berkali-kali membangkitkan isu ini di dalam sidang DUN mahupun parlimen.

“PKR tegas dengan pendiriannya bahawa pemerintah harus memastikan hak mendapatkan pendidikan ibunda terjamin bagi semua masyarakat.

“Semua sekolah yang berlainan aliran juga perlu dilayan secara adil,” katanya.


Tiada ulasan: