MALAYSIAKINI
Bekas editor kanan Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain hari
ini menimbulkan persoalan apakah wartawan akhbar berbahasa Cina
diberikan kebebasan menulis yang lebih berbanding wartawan akhbar
Melayu.
Ku Seman yang berkhidmat lebih 32 tahun dengan akhbar Umno itu
berkata, analisis oleh wartawan akhbar Melayu sering menyokong melulu
kepada arus utama dan menghentam melulu terhadap arus yang bertentangan.
"Apakah wartawan akhbar Cina jauh lebih hebat membuat analisis berbanding wartawan akhbar Melayu?,
"Analisis yang disiarkan di akhbar berbahasa Cina misalnya yang dalam akhbar Sinar Harian kelihatan tidak dipengaruhi oleh arus utama.
"Mereka menulis sesuatu yang bermain di fikiran sebahagian besar
rakyat, sebaliknya di akhbar Melayu kelihatan cuba untuk menyenangkan
hati penguasa arus utama," ujar beliau dalam blognya.
Baru-baru ini, Ku Seman juga menzahirkan pendapat yang bertentangan dengan Utusan Malaysia apabila tidak bersetuju dengan dakwaan karikatur 'dedak' yang didakwa berkait dengan Nga Kor Ming sebagai menghina Islam.
Baginya, ia adalah satira politik dengan perkataan 'derma' dan
'dedak' adalah kata kunci yang popular dalam situasi politik semasa.
"Saya tidak jumpa elemen-elemen yang dikatakan menghina Islam yang membawa Pemuda Umno menyerbu pejabat DAP," tambahnya.
Mengulas lanjut, Ku Seman menambah, beliau juga sama sekali tidak
fikir wartawan akhbar berbahasa Cina jauh lebih baik dalam membuat
analisis.
"Faktor yang membezakan kedua-dua akhbar ini adalah perbezaan ruang
kebebasan menulis dengan fakta oleh pihak yang mengawal akhbar
berkenaan.
"Tetapi yang terpancar ialah wibawa akhbar dan wartawan berbahasa
Melayu jatuh. Mereka kelihatan hanya mempertahankan penguasa arus utama
tanpa hujah yang kukuh.
"Berbanding akhbar dan wartawan berbahasa Cina yang menulis dengan
hujah dan fakta yang semua rakyat tahu kebenarannya," katanya.
Oleh itu, beliau tidak fikir ada wartawan akhbar Melayu yang diberi
ruang kebebasan menulis secara jujur tentang kesan skandal 1MDB terhadap
masa depan negara seperti yang ditulis oleh wartawan akhbar Cina.
Walaupun Sinar Harian sebuah akhbar berbahasa Melayu tetapi
tidak dikawal sepenuhnya oleh UMNO, katanya, maka Sinar Harian kelihatan
bebas untuk menyiarkan analisis yang tidak boleh disiarkan oleh akhbar
kawalan UMNO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan