Isnin, 25 Julai 2016

Mahathir membantah memang munasabah


 
Oleh SUBKY LATIF 


APA jua status Dr. Mahathir selepas berundur daripada Perdana Menteri dan Presiden Umno, dia adalah seorang rakyat. Sekalipun dia jadi negarawan tetapi negarawan juga seorang rakyat.

Yang menjadikannya Presiden Umno dan Perdana Menteri dulu ialah kerana dia rakyat dan sebagai rakyat yang berpolitik.
   
Sifat dan watak pertama orang politik ialah hendak melihat rakyat dan negara merdeka, aman dan sejahtera. Orang politik boleh campur politik dan boleh tidak campur jika dirasakan semua berjalan baik.
   
Apabila politik sudah tidak normal, sama ada Islam, demokrasi, fasis, ekstremis nescaya ada reaksi. Asas utama reaksi itu ialah supaya politik itu normal dan berada pada tangan yang betul.
   
Dr. Mahathir berpolitik masa muda dulu untuk berkhidmat dan mengambil bahagian merancakkan politik dan apa lagi jika diberi laluan. Datuk Onn Jaafar, Dr. Burhanuddin al-Helmy, Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Razak juga begitu.
  
Apabila masing-masing berusia, sama ada masih bertenaga atau tidak, maka ada pilihan masing-masing untuk berundur, bersara atau tidak aktif. Dalam Islam tiada usia bersara tetapi boleh tidak aktif.
   
Sekalipun Datuk Onn ditolak oleh pengundi majoriti, dia terus berpolitik hingga mati kerana dia tidak dapat menerima politik yang ada pada masanya. Demikian juga Dr. Burhanuddin. Dia memperjuangkan Islam. Kerana politik Islam itu tidak terlaksana, dia terus berpolitik hingga akhir.
  
Tunku Abdul Rahman bersara daripada Perdana Menteri dan Presiden Umno. Bersara daripada politik dan bergerak dalam dinamik Perkim. Berjaya menjadikan NGO yang biasa itu dinamik.
  
Sekitar tiga tahun tidak hiraukan politik didapatinya ada yang tidak kena pada politik dan pimpinan Perdana Menteri Tun Razak, maka sebagai rakyat berdarah politik, lalu tiada dia diam. Bahkan hampir menubuh dia sebuah parti politik bagi menyaingi Umno. Rancangannya dibatalkan justeru janji Perdana Menteri Hussein Onn untuk mengikis penyusupan anasir komunis dalam Umno.
   
Usianya panjang lalu dia berada di belakang Tengku Razaleigh Hamzah membentuk Parti Semangat 46. Mengapa setelah kubur kata mari dia berpolitik juga? Justeru jiwa politiknya tidak membenarkannya diam saja apabila ada politik yang dirasanya tidak kena dan boleh menjejaskan rakyat dan negara.
   
Itulah yang menjadikan Mahathir terjaga daripada suasana singa tidur hingga pada usia setua Tunku di akhir hayatnya berhajat menubuh parti baru bagi menggerakkan pakatan pembangkang yang lebih bertenaga, bukan lagi sekadar memaksa PM Najib berundur, bahkan menyambung usaha DS Anwar Ibrahim merampas Putrajaya.
  
Apakah tindakannya itu betul dan adakah dia akan berjaya?
  
Sekalian yang tidak mabuk dedak mengira Najib adalah pemimpin negara yang paling tidak guna. Mendedahkan negara dalam kehancuran dan rakyat hidup sengsara.
  
Gara-gara keburukan dan kedegilan Najib itu tidaklah menyusahkan sangat kehidupan Dr. Mahathir yang ada pencen Perdana Menteri dan elaun besar Petronas dan Proton. Isterinya pun ada  pencen. Hingga mati dia tidak susah.
  
Tetapi sebagai rakyat yang ada jiwa politik, dia tidak senang melihat negara hancur dan rakyat sengsara. Maka dia bangkit berpolitik seperti orang tua Datuk Onn dan Tunku.
   
Jangan fikirkan berjaya atau berbaloi Datuk Onn dan Tunku berpolitik lagi! Jangan anggap mereka tua keladi! Orang politik jika dirasanya ada yang tidak kena, maka dia wajar bangun membantu gerakan politik yang ada bagi membetulkan ketempangan. Berjaya atau tidak, jadi perkara kedua.
  
Diam saja adalah mati sebelum mati.

Tiada ulasan: