SHAH ALAM: Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid
Samad hari ini menjawab tuduhan Parti Sosialis Malaysia (PSM) berhubung
pembohongan dalam penubuhan Pakatan Harapan.
Ujar Khalid, timbul salah faham dalam kenyataannya dan Ahli
Jawatankuasa DAP Selangor, Ong Kian Ming berkenaan Artikel 153
Perlembagaan Malaysia yang dipersetujui bersama Pakatan Rakyat sebelum
ini.
"Apabila ingin mengimbau kembali mengapa PSM telah tidak bersama PR,
maka timbul dua versi yang berbeza. Ini mungkin atas sebab soalan itu
telah tidak dijangka dan oleh itu tiada persiapan untuk menjawabnya.
"Versi pertama menyatakan bahawa ianya adalah atas sebab PSM tidak
bersetuju dengan sebahagian dari ‘dasar bersama PR’, khususnya
penerimaan artikel 153 Perlembagaan Persekutuan oleh PR.
"Versi kedua pula ialah bahawa penerimaan mereka sebagai anggota PR telah dibantah oleh PAS pada ketika itu.
"Kedua-dua versi ini telah saya sebutkan pada pemberita berkenaan.
Malangnya hanya satu versi dilaporkan dan ianya kononnya jawapan dari
saya. Sedangkan, sepertimana yang telah saya jelaskan, saya hanya
menyatakan jawapan yang diberi apabila soalan itu ditimbulkan semasa
sidang meja bulat," katanya memetik sebahagian tulisannya di blog, hari
ini.
Sebelum
ini, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S Arutchelvan menuduh kedua-dua
pemimpin Amanah dan DAP itu sebagai berbohong dalam penubuhan Pakatan
Harapan pada Selasa lalu.
Kononnya PSM tidak dijemput dalam rundingan meja bulat pembentukan
gagasan pembangkang yang baru itu disebabkan parti berkenaan tidak
bersetuju dengan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia yang disepakati
bersama pembangkang sebelum ini.
Khalid dalam pada itu menegaskan parti-parti yang dijemput dalam
rundingan tersebut hanyalah mereka yang telah bersama dengan Pakatan
Rakyat.
"Parti Amanah Negara, walaupun parti baharu yang bukan sebahagian dari
PR sebelum ini, anggota dan pimpinannya merupakan pimpinan PAS pada
ketika itu. Kami dikenali sebagai pendokong tegar konsep PR dan atas
sebab itu kami telah berbalah dengan pimpinan PAS sediada.
"Maka di atas dasar ini kami turut dijemput bersama. Hakikatnya kami
telah sememangnya menjadi sebahagian dari PR sejak mula ianya ditubuhkan
tetapi melalui wadah lain pada ketika itu," ulasnya lagi.
Untuk rekod Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab
kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kedudukan dan keistimewaan
orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, atau dikenali sebagai
Bumiputera.
Pada Selasa lalu, PSM tidak dijemput dalam rundingan meja bulat
pembentukan Pakatan Harapan yang kemudiannya menyaksikan PKR, DAP dan
Amanah bergabung dalam gagasan pembangkang yang baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan