KUALA LUMPUR, “Nasihat saya kepada mereka yang membaca status Facebook seorang jurugambar dan blogger yang mendakwa banyak rumah pelacuran di sekitar Makkah, usah kongsi di Facebook masing-masing,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

 

Jelasnya, nasihat itu bertujuan mengelakkan tindakan merendah-rendahkan Tanah Haram di mata umat Islam.

“Kalau pun benar di Makkah ada aktiviti pelacuran, orang Mukmin tidak akan rela menyebar, menyiar dan membuka keaiban saudara seIslam dengan cara sebegini.

“Apatah lagi ia adalah dakwaan, fitnah dan tuduhan yang didengar entah dari siapa.

“Sesungguhnya membuka dan menyebar keaiban saudara seIslam adalah sifat munafik. Apatah lagi keaiban yang direka cipta dengan tujuan memburuk-burukkan dan merendah-rendahkan dua Tanah Haram pada mata orang Islam sendiri,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman Facebook miliknya.