KUALA LUMPUR,  Berikutan kemungkinan akan berlakunya perhimpunan hari ini, beberapa orang pemimpin pembangkang, berserta parti Gerakan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertindak turun ke Jalan Petaling sebagai tanda menyokong keharmonian antara kaum di Malaysia.


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata kehadirannya di Jalan Petaling hari ini adalah untuk menyokong perpaduan di antara semua kaum.

“Perpaduan bukan hanya untuk mereka yang berniaga di sini, tetapi juga untuk semua yang selalu datang ke sini. Tempat ini adalah kepunyaan semua rakyat Malaysia,” katanya pada satu sidang media di Jalan Petaling pagi tadi.

Nurul Izzah mendakwa tindakan rasis yang dipamerkan oleh kumpulan baju merah adalah dari ‘zaman batu’.

Sebagai seorang Muslim, Nurul Izzah berkata ianya menjadi tanggungjawab bersama untuk membanteras sebarang tindakan yang boleh memecah-belahkan rakyat Malaysia dengan menggunakan rhetorik mengecewakan.

“Saya rasa kesemua pemimpin yang hadir hari ini adalah penting untuk kita berkata dengan lantang bahawa kita menentang sebarang percubaan untuk memecah belahkan kaum-kaum di Malaysia, dan kita akan berjuang untuk perpaduan.

Nurul Izzah seterusnya mendakwa bahawa ‘tindakan rasis’ itu mendapat restu dari Kabinet dan kerajaan.
Justeru, katanya, suara mereka yang hadir ini harus lebih lantang untuk melawan rhetorik yang dibawa.

Dalam perkembangan tersebut, Nurul IZzah mempelawa pemimpin-pemimpin Umno untuk membela maruah Melayu dengan menolak rasuah dan segala skandal.

“Marilah kita ambil masa dua minggu akan datang ini untuk membawa perubahan,” katanya.

Sementara itu, pemimpin DAP Lim Kit Siang mendakwa himpunan baju merah dianjurkan semata-mata untuk memastikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kekal berkuasa.

“Mereka menggunakan ancaman perkauman untuk mengekalkan kuasa beliau sebagai Perdana Menteri. Merekan menggunakan alasan kaum untuk itu. Sebab itulah mereka memutarbelitkan perhimpunan Bersih sebagai tanda kuasa orang Cina terhadap kuasa politik orang Melayu. Itu sahaja,” kata Lim pada sidang media yang sama.

Lim turut mempelawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memberi komitmen sepenuhnya dalam membuktikan bahawa Umno tidak akan menggunakan alasan perkauman untuk menyelesaikan masalah-masalah negara.

“Saya ingin bertanya padanya (Ahmad Zahid), adakah beliau mahu berbincang dengan kita demi negara,” kata Lim lagi, menyatakan bahawa pihak pembangkang sudi berbincang bersama Ahmad Zahid.

Ahli Parlimen Wangsa Maju Datuk Dr Tan Kee Kwong pula berkata beliau berasa malu apabila duta China ke Malaysia Dr Huang Huikang terpaksa turun ke Jalan Petaling semalam untuk bercakap menentang keganasan perkauman.

“Dia terpaksa turun ke Jalan Petaling untuk memberi nasihat kepada kita. Ini sangat teruk dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya malu apabila duta China ke Malaysia terpaksa memberitahu kita bagaimana kita harus tangani masalah ini.

“Saya tidak tahu mana hendak letak muka,” katanya lagi.

Semalam, Huang bertindak turun ke Jalan Petaling dan memberi amaran supaya tidak menggunakan keganasan untuk mengancam keselamatan masyarakat.

Naib Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Asharuddin Ahmad yang turut turun berkata NGO Melayu juga tidak bersetuju dengan penganjuran himpunan seumpama itu.

Menurutnya, perkara tersebut dibuktikan apabila tidak ada pun mereka yang dikatakan ingin berhimpun hadir ke Jalan Petaling.

“Perkara ini tidak bagus untuk perpaduan masyarakat di negara ini kerana kebanyakan orang Melayu, India dan Cina mahu hidup dalam suasana harmoni. Jadi tidak perlu ada ancaman perkauman seperti ini sebaliknya perlu membantu kerajaan dalam usaha menyatupadukan rakyat Malaysia,” katanya.

Semalam, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom menyatakan bahawa himpunan berkenaan dibatalkan selepas pihak berkuasa menyarankan berbuat demikian.

Malah, Pengerusi Gabungan NGO Melayu, Datuk Jamal Md Yunos turut ditahan polis semalam di bawah Akta Hasutan berikutan kenyataannya berkenaan kemungkinan akan berlaku perhimpunan hari ini.