Sabtu, 26 September 2015

Kimma sokong sekolah satu aliran

SINAR HARIAN



Syed Ibrahim Kader
Syed Ibrahim Kader


SEREMBAN - Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma)‎ menyokong cadangan mewujudkan sistem sekolah satu aliran di negara ini kerana yakin ia memberi kesan positif.
  
Presiden Kimma, Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, antara kesan positif itu ialah ia dapat menyemai dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar.
 
"Ini seterusnya dapat mencapai perpaduan nasional dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini melalui sistem pendidikan satu aliran yang sistematik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Korban Perdana anjuran Badan Perhubungan Kimma Negeri Sembilan dan Masjid India Muslim Seremban di sini, hari ini.
  
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam bahawa pemimpin semua kaum perlu berbincang sama ada perlu atau tidak mewujudkan sistem sekolah satu aliran di negara ini.
  
Mahdzir berkata, isu sistem sekolah satu aliran dan kepentingannya terhadap perpaduan nasional perlu difikirkan secara bersama oleh semua kaum negara ini.

Syed Ibrahim berkata, sekolah adalah antara acuan yang penting untuk membina generasi muda yang memahami dan saling menghormati antara satu sama tanpa mengira bangsa dan agama.
  
Sementara itu, beliau berkata Kimma akan menganjurkan konvoi bermotosikal ke seluruh negara untuk membawa mesej menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
"Kimma akan berdiri teguh di belakang pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam apa jua situasi. Kami (Kimma) akan terus bersatu hati, bersepadu tenaga untuk pastikan kerajaan yang ada sekarang (BN) terus kekal untuk pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.
 
Katanya program itu dijangka diadakan bulan depan dan Kimma sedang berusaha untuk mengumpulkan 500 buah motosikal untuk tujuan itu.
  
Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata Kimma mengagihkan sebanyak 27 ekor lembu untuk Majlis Korban Perdana di seluruh negara termasuk lima ekor untuk Masjid India Muslim Seremban.
  
"Penganjuran Majlis Korban Perdana ini bertujuan untuk menjalinkan kerjasama dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli KIMMA dan masyarakat setempat," katanya.  - Bernama


Tiada ulasan: