Isnin, 28 September 2015

Jemaah Malaysia terkorban dalam rempuhan

Zulkifly Samad
Zulkifly Samad


SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) semalam mengesahkan seorang jemaah Malaysia, Zulkifly Samad, 50, terkorban dalam tragedi rempuhan di Mina, Khamis lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberitahu, mangsa tersebut yang berasal dari Johor dikenal pasti berdasarkan semakan TH.

Katanya, pasukan perubatan TH membuat tinjauan di rumah mayat Moaissim semalam menemui satu jenazah yang disahkan rakyat Malaysia dalam keadaan sempurna.

Menurutnya, pasukan perubatan TH mengesahkan jenazah melalui identifikasi yang ada pada jenazah berkenaan.

"Di sini pihak Tabung Haji mengesahkan jenazah itu adalah Zulkifly Samad," katanya dalam kenyataan dikeluarkan dari Makkah, malam tadi.

Sebelum ini, TH pada makluman awal mengesahkan tiada jemaah haji yang terbabit dalam rempuhan itu.

Makluman awal ini berdasarkan pengesahan daripada waris dan maklumat awal dari penempatan jemaah haji.‎

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata, pihak TH menerima laporan daripada isteri mangsa, Suriahanim Abd Hamid, 40, bahawa suaminya tidak pulang ke khemah.

Selepas menerima laporan itu, Asyraf Wajdi berkata, petugas haji memulakan usaha mencari jemaah terbabit di sekitar Kompleks Jamarat dan hospital berdekatan di Mina yang dikategorikan tersasar.

Katanya, dalam laporannya, Suriahanim mengakui suaminya tidak bersama jemaah TH dari Muzdalifah kerana bercadang untuk berjalan kaki mengikut Sunnah Rasulullah SAW ke Mina.


Tiada ulasan: