Ahad, 27 September 2015

PKR: Zahid, jangan nafi hak rakyat berhimpun

MALAYSIAKINI

 


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi perlu bersikap lebih adil terhadap hak berhimpun kerana ia dibenarkan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pehimpunan Aman, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Beliua berkata Zahid tidak seharusnya menafikan hak seluruh rakyat Malaysia untuk berhimpun hanya disebabkan penganjur himpunan 'Baju Merah' gagal mengawal keadaan terutamanya di Jalan Petaling.

"Datuk Seri Zahid sewajarnya bersikap lebih jujur dan adil dalam isu ini," kata Fahmi yang juga naib ketua AMK dalam satu kenyataan.

"Beliau tidak patut menafikan hak seluruh rakyat Malaysia untuk berhimpun dengan aman hanya kerana penganjur himpunan “baju merah” gagal mengawal keadaan, terutama di kawasan Jalan Petaling,” katanya lagi.

Semalam menteri dalam negeri itu, meminta rakyat supaya tidak lagi menggunakan demonstrasi jalanan untuk menyuarakan pandangan sebaliknya berbuat demikian menerusi pelbagai forum lain.

Katanya, demonstrasi jalanan bukanlah budaya Malaysia dan ia tidak seharusnya diamalkan di negara ini dan rakyat Malaysia perlu menghormati undang-undang negara.

Dalam kenyataannya juga, Fahmi berkata tak patut Zahid menyamakan perhimpunan BERSIH 4 yang menuntut reformasi pilihan raya dengan himpunan Baju Merah yang menggunakan perkataan perkauman untuk menimbulkan ketegangan.

Pemimpin Pemuda PKR itu berkata perhimpunan 'Baju Kuning' itu selamat, tidak merosakkan harta benda awam, dan tiada FRU dikerahkan berbanding himpunan baju Merah yang melanggar arahan polis sehingga FRU dikerah dan penggunaan meriam air kimia.

"Hingga ke hari ini, belum ada berita mengenai mereka yang bertanggungjawab menceroboh masuk ke Jalan Petaling ditangkap atau dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata jika mahu Bersih 4 hujung bulan lalu berlaku lagi, Fahmi mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan tuntutan yang dituntut oleh kumpulan itu demi kebaikan rakyat.


Tiada ulasan: