Isnin, 28 September 2015

Ibu bapa kecewa sekolah tak patuhi arahan tutup

N Faizal Ghazali


 


Ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Sains Kuching Utara (SAKURA) di Kuching, Sarawak tidak berpuas hati apabila pihak sekolah tidak mengikut arahan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya menutup sekolah kerana jerebu yang melanda di kawasan tersebut.

Mereka mendakwa pihak pengurusan SAKURA - sebuah sekolah berasrama penuh - mengambil risiko dengan mengarahkan semua pelajar kembali ke sekolah pada hari ini, walaupun KPM mengarahkan sebaliknya semalam.

Seorang bapa pelajar yang tidak mahu disebut namanya berkata, tindakan pihak sekolah itu bukan sahaja mengingkari arahan kementerian tetapi turut mendatangkan risiko kepada pelajar.

"Bagi anak saya yang ada sejarah penyakit lelah (Asma) sudah tentu keadaan jerebu yang berlaku ini membimbangkan. Walaupun pihak sekolah memberi jaminan, tetapi sebagai ibu bapa kami tetap khuatir.

"Alangkah baiknya jika pelajar dibenar berada di rumah masing-masing sehinggalah keadaan kembali pulih untuk mereka kembali ke asrama," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan apakah kewajaran pihak sekolah bertindak demikian, sedangkan sekolah lain mematuhi arahan penutupan tersebut.

KPM semalam memaklumkan penutupan semua sekolah di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Bahagian Sri Aman, Kuching dan Samarahan di Sarawak hari ini.

Seorang lagi ibu bapa pelajar di SAKURA bagaimanapun berkata, pihak sekolah memberi jaminan tiada aktiviti luar di kawasan terbuka hari ini.

"Pada saya, tindakan pihak sekolah menyebabkan rasa kurang puas hati di kalangan ibu bapa. Saya tak kisah sebab kesihatan anak saya baik, tetapi bagi pelajar yang mempunyai penyakit seperti asma pastinya risau risiko terhadap anak mereka," kata ibu kepada pelajar tingkat dua itu.

Sementara itu, Malaysiakini cuba mendapatkan respon daripada salah seorang guru kanan sekolah tersebut, bagaimanapun beliau enggan mengulas mengenainya.

Semalam, SAKURA membuat pengumuman melalui Facebook dengan membenarkan pelajar mereka kembali ke asrama seperti biasa pada hari ini. Ibu bapa juga turut diminta menyediakan topeng muka dengan kuantiti mencukupi untuk kegunaan anak mereka.

Jurucakap Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat dan mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

"Sepatutnya pihak sekolah mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh jabatan dan patuh arahan yang dikeluarkan KPM.

"Kita akan mendapatkan mengesahan sama ada dakwaan ini benar-benar berlaku atau mungkin pihak sekolah mempunyai program tersendiri melibatkan sesetengah pelajar," katanya.

Ditanya kemungkinan tindakan jika perkara itu benar, pegawai tersebut bagaimanapun enggan mengulas lanjut.


Tiada ulasan: