ULASAN Parti Rakyat Malaysia(PRM) yakin bahawa lebih ramai rakyat Malaysia menolak BN yang dipimpin Umno, maka parti politik pembangkang harus bersatu untuk menentang parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14.
Setiap parti politik mempunyai pendirian dan ideologi berlainan mengenai beberapa isu yang menjejaskan negara, tetapi PRM percaya bahawa semua parti politik pasti sanggup berkerjasama dengan niat sama untuk mengalahkan BN.
Tidak boleh dinafikan bahawa kerajaan BN dahulu ada melakukan perkara yang baik, tetapi kini parti itu tidak sunyi dari tuduhan penyalahgunaan kuasa, rasuah, sikap boros dan pelaksanaan polisi dan dasar yang tidak mengutamakan rakyat.
Parti itu sebaliknya dilihat hanya menjaga kepentingan beberapa orang dan perniagaan korporat dan kroni.
Justeru, demi kepentingan rakyat dan negara, zaman pemerintahan BN harus diakhiri secepat mungkin dan digantikan dengan kerajaan alternatif yang benar – bukan sekadar penukaran orang dan parti yang memerintah.
Inisiatif Pakatan Rakyat melibatkan PAS, DAP dan PKR yang dimulakan pada 2008 kini nampaknya sudah berakhir.
Kegagalan ini berpunca dari beberapa sebab:
1. Pakatan lemah kerana enggan melibatkan parti politik pembangkang lain termasuk PRM. Pendirian ini membuntukan perkembangan Pakatan.
2. Pakatan yang mahu menjadi lebih daripada satu gabungan untuk menghadapi pilihan raya gagal mendaftarkan diri sebagai satu gabungan parti politik seperti BN.
3.Pakatan gagal sampai pendirian dan dasar berkenaan cara pentadbiran dan isu-isu asas. Perbedaan ini nyata dari cara pentadbiran kerajaan negeri yang kini diperintah parti PAS-DAP-PKR.
Hala tuju dan dasar setiap kerajaan negeri tersebut berkenaan nampaknya ditetapkan oleh Menteri Besar atau parti Menteri Besar berkenaan, dan bukan secara bersama.
Kehilangan Kedah dan kegagalan merampas kembali Perak dalam Pilihanraya Umum (PRU) lepas adalah kesan amalan sebegini.
Keempat, walaupun Pakatan berjaya membentuk pentadbiran di beberapa negeri, cara pentadbiran dan dasar nampaknya tidak banyak berubah daripada cara Umno-BN.
Apa yang berbeza, mungkin kerajaan negeri kini lebih bersih, cekap dan amanah. Ini tidak memadai, kerana ia perlu melibatkan perubahan besar dari segi dasar.
Antara lain, perubahan ini perlu melibatkan promosi dan jaminan hak pekerja, golongan tani, nelayan, sistem pendidikan, Orang Asli, isu alam sekitar, kesihatan dan kebajikan rakyat. Parti pembangkang ini perlu membuktikan alternatif yang lebih baik dan adil.
Rakyat biasa di peringkat akar umbi sehingga kini tidak dapat melihat apa-apa perbezaan nyata berbanding dengan zaman Umno-BN yang memerintah negeri yang kini ditadbir parti Pakatan.
Mungkin pentadbiran di Kelantan di bawah pimpinan allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim Guan Eng ada perbezaan. Ini juga boleh dilihat daripada kekurangan kerusi parlimen yang dimenangi oleh PAS dan PKR dalam PRU 13.
Kerajaan BN pula perlu menghadapi isu berikut:
1. Skandal wang RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun peribadi perdana menteri
2. Isu berkaitan 1MDB, terutama apabila penyiasatan tidak berjalan dengan lancar
3. Pelaksanaan GST, inflasi dan peningkatan kos sara diri
4. Isu pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MAS)
Harus juga diingati bahawa perkembangan di negeri yang ditadbir oleh gabungan kerajaan PAS-DAP-PKR juga akan diambil kira pengundi.
Jika tidak ada perubahan nyata dilihat, ini boleh juga menjejaskan keputusan akan datang, lebih-lebih lagi jika Umno menggantikan perdana menteri sebelum pilihan raya umum akan datang.
Undi yang diperolehi untuk sesuatu kerusi bukanlah sokongan kepada parti tertentu tetapi adalah sokongan kepada semua parti pembangkang.
Secara alternative, undi memihak pembangkang adalah sseruan rakyat yang mahukan alternatif kepada BN.
Parti pembangkang tidak boleh terus kekal di kerusi yang dimenangi oleh calonnya dalam pilihan raya umum ke-13. Ini adalah sikap mementingkan diri sendiri.
Bagi PRM, kerusi yang bakal dipertandingkan harus diagihkan untuk meletakkan calon yang terbaik, yang berprinsip dan berkebolehan untuk rakyat dan kawasan berkenaan tanpa kira parti.
Meletakkan calon yang salah bakal merugikan rakyat setempat dan rakyat Malaysia.
Kini terdapat ramai wakil rakyat dan ADUN pembangkang ponteng Parlimen, tidak berhujah mahupun bertanya soalan. Ada juga yang tidak tampil menunjukkan sokongan dalam isu rakyat, dan ada yang tidak berkomunikasi secara terus dengan rakyat.
PRM mahu rakyat diberikan semula hak untuk memilih wakil dalam kerajaan tempatan dan di peringkat kampung.
PRM mahukan kerajaan alternatif yang bukan bermaksud hanya penukaran orang yang memerintah tetapi juga perubahan dari segi polisi dan arah tuju pentadbiran.
PRM berpegang kepada keadilan dan kebajikan rakyat. Penekanan harus diberikan kepada yang miskin dan terpinggir di mana programnya bukan sekadar bantuan kewangan seperti BR1M.
Sebaliknya, program ini sepatutnya membina masyarakat dan rakyat yang dapat berdikari, dengan pendapatan berkekalan buat sekarang dan untuk hari tua.
PRM berharap semua parti sedia bekerjasama dan tidak sekadar menjamin jawatan wakil rakyat untuk parti masing-masing. Strategi satu lawan satu masih lagi strategi terbaik untuk mengakhiri pemerintahan Umno-BN.
PRM sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik dan NGO, asalkan bukan Umno-BN, demi masa depan rakyat Malaysia.
KOW SWE YONG setiausaha agung PRM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan