Ahad, 27 September 2015

Penerbangan Di Beberapa Lapangan Terbang Terjejas Akibat Jerebu

MSTAR ONLINE
 
 
Penumpang yang terkandas ekoran kelewatan penerbangan akibat jerebu di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ahad. Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR: Aliran trafik udara di beberapa lapangan terbang di negeri-negeri terjejas akibat jerebu yang menyelubungi ruang udara negara pada Ahad.

Lapangan terbang terbabit ialah Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di Sarawak.

Meskipun jarak ketampakan rendah akibat jerebu, operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang berjalan seperti biasa.

Menurut Jabatan Komunikasi Korporat, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), bahagian operasi terminal melaporkan LTSAAS di Subang beroperasi seperti biasa dengan jarak ketampakan 800 meter pada pukul 1.00 tengah hari.

Bagaimanapun, MAHB menerusi laman Twitternya, menasihatkan para penumpang di LTSAAS menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat jadual penerbangan terkini.

"Walaupun lapangan terbang dibuka, semua penumpang yang tiba dan berlepas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, dinasihat menghubungi syarikat penerbangan masing-masing mengenai jadual penerbangan oleh kerana ada sesetengah penerbangan terlewat," kata MAHB.

Di IPOH, enam penerbangan, masing-masing tiga pelepasan dan tiga ketibaan mengalami kelewatan akibat jerebu di LTSAS.

Pegawai Operasi Malaysia Airports Sdn Bhd Tengku Mahmud Tengku Zainal berkata, jarak ketampakan di lapangan terbang berkenaan adalah 600 meter.

Beliau berkata, kelewatan melibatkan pelepasan penerbangan Ipoh-Singapura dan Ipoh-Johor Baharu serta ketibaan Singapura-Ipoh dan Johor-Ipoh.

Tengku Mahmud berkata, kesan jerebu turut mengakibatkan penerbangan TR2482 Singapura-Ipoh, yang dijadualkan tiba pukul 3.05 petang, dilencongkan ke klia2.

Beliau berkata, syarikat penerbangan terbabit ialah Tiger Air, Firefly dan Malindo Air.

Di KUCHING, lapan penerbangan syarikat Malaysia Airlines Berhad dibatalkan serta sembilan lagi mengalami kelewatan dan satu lencongan akibat jerebu yang melanda Kuching dengan jarak ketampakan 1500 meter setakat 5 petang Ahad.

Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAB), Malaysia Airports Sdn Bhd, Mohd Nadzim Hashim berkata, lapan penerbangan terpaksa dibatalkan sehingga diberitahu kelak, iaitu empat penerbangan dari Kuching dan empat ketibaan di LTAK.

Sembilan lagi penerbangan mengalami kelewatan, melibatkan lima pelepasan dan empat ketibaan di LTAK serta satu penerbangan pesawat MH2542 dari Kuala Lumpur telah dilencongkan ke Lapangan Terbang Sibu berbanding hanya empat penerbangan mengalami kelewatan pagi Ahad.

Empat penerbangan masing-masing dari Kuala Lumpur dan Sibu yang dijadualkan tiba di Kuching juga mengalami kelewatan berikutan jerebu di Kuching dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara tidak sihat 126 setakat 5.00 petang ini berbanding IPU 116 tengah hari Ahad.

Mohd Nadzim menasihatkan semua penumpang yang menggunakan penerbangan melalui LTAK menyemak jadual penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum ke lapangan terbang.

Menurutnya dua penerbangan, satu ketibaan dan satu pelepasan melibatkan sektor Kuching-Pontianak dan Pontianak-Kuching dibatalkan sejak lima hari lepas.

"Sektor ini dibatalkan sehingga diberitahu kelak.

"Tiada penumpang terlibat kerana semua penumpang telah dimaklumkan lebih awal," katanya.

Tiada ulasan: