Isnin, 28 September 2015

Pemindahan hati Dalili, bapa berjaya

Berlepas ke China: Doakan rawatan Dalili
Dalili bergambar bersama keluarganya sebelum berlepas ke China, 3 September 2015.


SHAH ALAM - Nur Syafiqah Dalili, 2, yang menghidap biliary atresia (kegagalan fungsi hati) selamat menjalani pembedahan pemindahan hati bersama bapanya yang juga penderma, Mohd Razali Shamsuddin, 39.

Ahli Jawatankuasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Johor, Marsila Yuhaini Baharuddin, 46, berkata, keadaan dua beranak tersebut disahkan stabil oleh pihak hospital selepas pembedahan selesai jam tujuh pagi semalam.

“Alhamdulillah, pembedahan berjaya dilakukan dengan selamat dan doktor bertanggungjawab mengesahkan Dalili dan bapanya berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada Sinar Harian melalui telefon.

Katanya, pembedahan yang dimulakan dengan Razali dan disusuli Dalili itu mengambil masa sekitar 12 jam.

“Razali selesai menjalani pembedahan sekitar jam empat pagi manakala Dalili pula selesai menjalani pembedahan sekitar jam tujuh pagi tadi.

“Razali dah sedar, tapi keadaannya masih lemah dan dia memerlukan sekurang-kurangnya tiga atau empat hari untuk pulih kembali,” katanya.

Menurutnya, Dalili masih belum lagi sedar dan dia kini ditempatkan dalam unit rawatan rapi (ICU) Hospital Renji.

“Tak ada apa yang berlaku, cuma prosedur biasa hospital selepas pembedahan bagi mengelakkan daripada berlakunya kemungkinan yang melibatkan komplikasi atau jangkitan kuman,” katanya.  

Tambahnya, pihak hospital mengesahkan akan menahan Dalili selama tujuh hari bagi memantau perkembangan kesihatannya.

“Tidak ada sesiapa pun dibenarkan melawat Dalili dan bapanya buat masa ini sehinggalah mereka pulih sepenuhnya,” katanya.


Tiada ulasan: