Isnin, 28 September 2015

DAP yang harus minta maaf isu khutbah Pahang

MALAYSIAKINI


 


Ketika DAP menuntut Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memohon maaf susulan khutbah mendakwa mereka anti-Islam, PERKASA berpandangan sebaliknya.

“PERKASA ingin menegaskan bahawa khutbah adalah wahana terbaik untuk menyampaikan mesej Islam yang hakiki kepada seluruh umat Islam.

“Oleh yang demikian, DAP tiada hak untuk memberikan kata dua atau amaran kepada JAIP tanpa menghayati kandungan khutbah Aidiladha tersebut.

“PERKASA menggesa agar DAP memohon maaf kepada JAIP kerana mencampuri urusan hal ehwal Islam dan JAIP,” kata Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam PERKASA DR Amini Amir Abdullah.

Amini berkata DAP telah dua kali mencampuri urusan kandungan khutbah di Malaysia.

DAP pada 26 September menggesa JAIP memohon maaf berhubung teks khutbah sempena Aidiladha mendakwa mereka menentang Islam.

Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puri (gambar) memberi masa lima hari bermula hari itu untuk JAIP memohon maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah itu atau berdepan tindakan undang-undang.

Tempoh itu akan tamat pada Rabu ini.

Dakwa ada perangkap politik

Dalam kenyataannya hari ini, Amini menyokong pandangan bahawa kandungan teks khutbah berkenaan hanya nasihat kepada umat Islam supaya bersatu.

“Sementelahan pula, khutbah tersebut merupakan nasihat dan peringatan kepada umat Islam agar bersatu padu atas satu ideologi iaitu ideologi Islam yang tulen dan bukannya ideologi politik chauvinisme,” katanya.

Mengulas strategi politik DAP untuk mendapatkan sokongan Melayu, beliau berkata orang Melayu mesti berhati-hati dengan “perangkap politik” parti itu.

“Kita mesti memahami kandungan khutbah tersebut adalah teguran yang berani dan berterus terang kepada umat Islam mengenai strategi politik DAP yang boleh memecah-belahkan umat Melayu-Islam dalam negara ini.

“Oleh itu, umat Islam wajib bersatu untuk mendaulatkan Islam, memperkasa ummah dan mempertahankan negara ini daripada ancaman musuh pada sebarang masa,” katanya.

Dewan Ulama PAS Perak hari ini turut mempertahankan khutbah itu dan menyokong langkah JAIP yang dilapor enggan memohon maaf susulan ugutan saman oleh DAP.

Ketuanya Sidek Mohd Noor berkata pihaknya bersetuju kandungan teks tersebut "tidak berbentuk fitnah tetapi nasihat".

1 ulasan:

Unknown berkata...

13 negeri 13 mufti, ada masuk peti, ada fatwa meniti. Kelantan ngan peti bai'ah kini Pahang peti perpaduwang melayu. Poodah! semuanya kesawang.Bagilah kesemua 13 tok peti bagi jawaban sama barulah tak timbul fatwa bukan permainan politik. Jika TGNA ada mungkin tak jadi begini.