Rabu, 30 September 2015

Kamalanathan bantah kementerian tangguh ambil guru bahasa ibunda

 
Beliau menegaskan banyak lagi kaedah lain yang boleh diambil kementerian untuk menjimatkan perbelanjaan.


P.-Kamalanathan,pengambilan-guru-guru-bahasa-Ibunda


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pendidikan ll, P. Kamalanathan membantah cadangan Kementerian Pendidikan untuk menangguhkan pengambilan guru-guru bahasa Ibunda (Pupils’ Own Language- POL) atas alasan untuk mengurangkan kos.

Menyifatkan langkah itu sebagai tidak bijak, Kamalanathan berkata, banyak lagi perbelanjaan lain yang boleh dijimatkan.

“Pengambilan guru-guru POL perlu diteruskan dan kerajaan tidak boleh menghentikan atau menangguhkannya kerana ia melibatkan kepentingan pendidikan di Malaysia.

“Amat penting untuk anak-anak menguasai bahasa ibunda masing-masing dalam peringkat pendidikan awal.

“Ia juga akan memudahkan proses pembelajaran anak-anak di sekolah,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Seminar Program Susu 1Malaysia di Hotel Hilton pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau akan menghantar permohonan untuk meminta kementerian membatalkan cadangan itu.

Kamalanathan turut memetik saranan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) yang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa bahasa ibunda harus dijadikan bahasa utama dalam pembelajaran.

“Sekiranya kerajaan mahu mengurangkan atau memotong kos bil utiliti atau kos-kos lain, tidak mengapa. Tetapi jangan melibatkan kesan kepada pembelajaran anak-anak di sekolah,” katanya.

Kementerian Pendidikan dilaporkan telah memperkenalkan enam langkah untuk mengurangkan perbelanjaan bagi menjimatkan kos.

Antaranya, menangguhkan pengambilan guru-guru POL, menyekat pelajar untuk mengambil bahagian di pertandingan antarabangsa, memantau bil utiliti dan memotong pembaziran elektrik, air, telekomunikasi.

Tiada ulasan: