Rabu, 30 September 2015

Raja Muda Selangor tidak murtad

Oleh: Hanafisah binti Jais – Setiausaha Dewan di­Raja Selangor


Kenyataan Abdul Rahim Thamby Chik berbaur hasutan dan mempunyai unsur-unsur fitnah yang boleh membangkitkan perasaan benci umat Islam kepada Raja Muda dan Sultan Selangor.

Raja-Muda-Selangor
  
Dewan di­Raja Selangor merasa amat dukacita di atas kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik di dalam akaun facebook beliau yang diterima pada 25 September 2015, memberi komen tentang pertukaran agama oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Dewan di­Raja Selangor dengan ini menafikan sekeras­kerasnya segala tohmahan dan fitnah berkaitan kenyataan ini yang merupakan satu pembohongan dan fitnah semata­mata.

Berikut dipetik kenyataan beliau:

“Berita pertukaran agama oleh putera Sultan Selangor, Tengku Amer Shah, ke Katholikisme amat menyedihkan umat Islam di seluruh Negara dan dunia.

“Kesedihan ini ditambah dengan 2 tragedi timpa umat Islam di Mekah dan Arafah. Moga hasrat Sultan Selangor bertemu Pope di Vatican City akan berhasil.”

Setelah membaca kandungan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Rahim Thamby Chik tersebut, Dewan di­Raja Selangor berpendapat dan merumuskan bahawa kenyataan tersebut berbaur hasutan dan mempunyai unsur-­unsur fitnah yang boleh membangkitkan perasaan benci umat Islam kepada Raja Muda dan Sultan Selangor.

Dewan di­Raja melahirkan kekesalan kerana Tan Sri Rahim Thamby Chik tiada langsung mengambil sebarang langkah untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang posting yang dibuat oleh portal-portal luar sebelum memberi pendapat dan komen beliau.

Adalah amat mudah bagi beliau untuk membuat semakan bagi menentukan kebenaran berita berkenaan sekiranya beliau mempunyai sifat tanggungjawab.

Tambahan pula posting tersebut telah diviralkan pada tahun lepas dan penafian telah dibuat oleh Ketua Polis Negara di akhbar­akhbar berikutan dengan satu laporan polis yang dibuat oleh pihak istana.

Tindakan Rahim Thamby Chik memberi komen terhadap berita palsu ini dirasakan sengaja dilakukan dengan niat jahat (dishonest intention) bagi mencemar dan mempersoalkan akidah Raja Muda Selangor sebagai seorang Islam dan secara langsung menyatakan Raja Muda Selangor telah murtad.

Akibat dari komen beliau ini terdapat banyak respon dan komen yang dibuat oleh orang ramai terutama umat Islam yang menunjukkan kemarahan, kebencian, cacian mereka terhadap Raja Muda Selangor dan Sultan Selangor.

Di samping itu, kenyataan beliau yang menyatakan Sultan Selangor akan bertemu Pope di Vatican City juga jelas merupakan satu pembohongan dan fitnah dan tidak seharusnya dikeluarkan oleh beliau yang merupakan bekas Ketua Menteri dan Timbalan Menteri.

Kenyataan beliau ini juga perlu dibenteras bagi mengelakkan umat Islam dari terus mempercayai dan menyebarkan pembohongan dan fitnah ini yang boleh mengakibatkan mereka tergelincir menjadi golongan fasik.

Di dalam masa yang sama Dewan di­Raja Selangor ingin memaklumkan bahawa Raja Muda ketika ini sedang menjalani latihan pegawai kadet di Akademi Tentera di­Raja Sandhurst, United Kingdom.

Sekembalinya Baginda ke Negara, Baginda akan ditauliahkan di dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia. Dewan di­Raja Selangor menyeru agar Rahim Thamby Chik memberhentikan dengan serta­merta segala tindak ­tanduknya menyebarkan berita palsu dan pembohongan ini.


(*)  Penulis adalah Setiausaha Dewan di­Raja Selangor

Tiada ulasan: