Isnin, 28 September 2015

Empat individu nafi merusuh di Stadium Shah Alam

harimau malaya
Asap suar memenuhi ruang padang dipercayai dibaling dari satu kelompok penonton yang dipenuhi kumpulan Ultras Malaya. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


SHAH ALAM - Empat individu termasuk seorang penuntut universiti swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam sebentar tadi terhadap tuduhan melakukan rusuhan semasa perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Arab Saudi yang berlangsung di Stadium Shah Alam, bulan lalu.

Norazman Noraziz, 24, Mohd Shahrul Azlan Mohd, 32,  dan Hazim Kamarulzaman, 35, serta Shamsul Nirwan Halidi, 37, didakwa bersama dua orang yang telah dituduh dan beberapa orang yang masih bebas.

Mereka didakwa sebagai anggota perhimpunan menyalahi undang- undang dalam  melaksanakan tujuan bersama iaitu merusuh dengan membakar suar, bom asap, mercun roket dan dibaling ke arah balapan stadium dengan seorang atau lebih daripada mereka melakukan kekerasan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan Kuadron C, Stadium Shah Alam pada jam 10.50 malam, 8 September lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Syak peniaga seludup bahan terlarang ke stadium]

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N Parimalaah mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Majistret, Norshakinah Ahmad Kamarudin membenarkan jaminan RM3,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Oktober untuk sebutan semula.

Sebelum ini, pada perlawanan itu, beberapa penyokong Ultras Malaya mencetuskan provokasi dengan melempar suar, bunga api dan mercun roket ke tengah padang sehingga perlawanan terpaksa dihentikan pada mini ke-88 ketika Malaysia ketinggalan 1-2.


Tiada ulasan: