Ahad, 27 September 2015

Kerajaan dalang baju merah, kata Tun M

Dr Mahathir
Dr Mahathir


MELAKA - Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan adalah dalang di sebalik himpunan baju merah yang berlangsung pada 16 September lalu.

Beliau berkata, sebahagian besar peserta perhimpunan tersebut terdiri daripada ahli Umno dan masyarakat Felda yang diberikan kemudahan pengangkutan serta wang saku untuk menghadiri perhimpunan berkenaan.

“Kebanyakan peserta yang hadir ke perhimpunan tersebut datang dari Felda menggunakan bas kerajaan dan mereka diberi duit dan makanan. Jadi ia seolah-olah kerajaanlah di belakang perhimpunan itu.

“Hanya orang di dalam kerajaan yang boleh membenar dan menggunakan kemudahan tersebut,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Human Rights Public Forum sempena United Nation’s International Day of Peace 2015 yang dianjurkan Mallaca Bar di sini, semalam.

Sementara itu, Mahathir berkata, sentimen perkauman tidak dibangkitkan dalam perhimpunan Bersih 4.0 yang disertainya sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau melihat isu tersebut sengaja diwujudkan sendiri oleh kerajaan melalui himpunan baju merah.

“Saya berada di perhimpunan baju kuning itu tetapi mereka tak berkata apa-apa tentang perkauman. Mereka hanya mahukan Perdana Menteri berundur. Itu sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, situasi negara dalam pelbagai aspek hanya akan pulih selepas siasatan terhadap 1MDB selesai.


Tiada ulasan: